Halaman

17 December 2011

11 masjid solat dua Imam di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

"JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tindakan lanjut.

"Sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering.

Pada majlis itu, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Rozali berkata, senario itu dikesan berlaku sejak sekian lama berikutan wujud pihak tertentu cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan.

"Ada juga segelintir penduduk bertindak luar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut bagi menghalang tindakan kita," katanya.

Beliau juga berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan politik atau kepartian.