Halaman

15 December 2011

Datuk Seri Nazri Aziz tinjau penempatan PPRT Kampung Pangkalan Atap,Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Nazri diiringi Dr Abdullah malam tadi meninjau kawasan pantai


Ketakutan penduduk yang tinggal di penempatan Projek Perumahan Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, yang dilanda banjir laut Ahad lalu,akibat ombak besar dan air pasang terubat apabila penderitaan mereka mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kencana Alam Negara, melakukan lawatan mengejut ke penempatan berkenaan yang terletak kira-kira 400 meter dari laut pada jam 8.30 malam tadi.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh serta pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nazri berpelung melihat secara lebih dekat kesan kemusnahan benteng penahan ombak yang dipukul ombak besar menyebabkan 44 rumah kediaman di situ dimasuki air dan 196 mangsa terpaksa dipindahkan ke balai raya berhampiran.

Pada sesi bertemu penduduk Nazri yang bersimpati dengan nasib malang menimpa penduduk berjanji akan member bantuan kepada semua mangsa terbabit selepas mendapat senarai terperinci daripada MKN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kerajaan Barisan Nasional akan memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan jika mereka menghadapi bencana dan berpindah adalah layak menerima wang ehsan RM5,000 bagi setiap keluarga.

“Walaupun ada penduduk terutama penyokong pembangkang yang tidak mahu berterima kasih kepada sumbangan itu, ia tetap diteruskan kerana menjadi tanggungjawab kerajaan membela semua nasib mereka yang ditimpa bencana,” katanya.

Beliau berkata, program turun padang yang dilakukan beliau ke semua kawasan yang dilanda banjir dan bencana alam bukan kerana pilihan raya akan tiba bila-bila masa sebaliknya ia dilakukan sejak 2004 selepas beliau dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap bencana alam.