Halaman

03 December 2011

Hariss ganti Anuar terajui TSG

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Indonesia, Hariss Salleh, bakal menggantikan Anuar Manan bagi mengetuai pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Cycling Team (TSG) 2012.

Pengurus pasukan Ahmad Kamarul Idrus berkata ini kerana Annuar, anak kelahiran Kuala Ibai akan mewakili pasukan yang berpangkalan di Hong Kong, Champion System, tahun depan.

"Hariss memang layak mengambil tempat Anuar memandang pengalaman beliau yang begitu luas dalam kejohanan lumba basikal di peringkat antarabangsa," katanya.

Ahmad Kamarul berkata walaupun TSG bakal kehilangan pelumba sensasi itu, pelumba-pelumba lain masih dikekalkan bagi menghadapi kejohanan lumba basikal benua Asia musim 2012 yang akan bermula Januari ini.

Mereka ialah Hariss, Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Yusliza Usoff, Nor Umardi Rosdi, Mohd Shobery Abdullah dan Mohd Fais Saifuddin.

Beliau berkata muka baru yang akan diambil bagi memantapkan lagi pasukan TSG tahun depan ialah Mohd Zamri Salleh dan juga beberapa pelumba remaja sebagai pelapis.

Ahmad Kamarul berkata sasaran TSG tahun depan ialah untuk menyertai seberapa banyak kejohanan peringkat Asia dan sekaligus menjadi sebuah pasukan disegani di peringkat Asia.

"Program latihan pelumba-pelumba TSG akan diadakan termasuk di Eropah kerana TSG dijangka menyertai kejohanan undangan sana tahun depan," katanya.