Halaman

04 December 2011

I-Heal lakar sejarah lagi: PESAKIT LUAR PERTAMA MEMBUAT PEMBEDAHAN PINTASAN JANTUNG

Oleh: Ruslan Rahman –Pengarang Teganukita



Tiada yang dapat diucapkan oleh Fara Rohlan, 39 tahun, dari Jakarta Indonesia melainkan syukur yang tiada terhingga apabila suaminya yang disayangi Dwi Bina Rachmawanto,40 selamat menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass surgery) di i-Heal, Hospital yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri.

Pembedahan adalah tanpa menggunakan pam (jantung palsu) bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru semasa pembedahan dijalankan, tetapi salur darah (bypass) dijahit dalam keadaan jantung sedang berdegup.

Dwi Bina seorang usahawan di Jakarta itu adalah rakyat asing pertama yang menjalani pembedahan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said yang meluangkan masa seketika melawat pesakit Dwi Bina di i Heal Kuala Lumpur sewaktu rehat Perhimpunan Agung Umno kelmarin (1 Disember 2011).

Dato’ Seri Ahmad memberitahu Pengarang Teganukita bahawa kedatangan pesakit dari luar itu membuktikan keyakinan terhadap keupayaan hospital berkenaan, khususnya pakar pembedahan jantung yang juga Pengarah Hospital itu, Dr.David Khoo Sin Keat.

Menteri Besar yang amat prihatin dan sentiasa memantau perkembangan hospital milik Kerajaan Negeri Terengganu sempat berbual beberapa ketika dengan Dwi Bina yang baru sahaja menjalani pembedahan, juga bertanya khabar kepada keluarga Dwi yang menemani sepanjang pesakit dari Jakarta dirawat di situ.



Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Haji Shamsudin Sulong.

Fara Roha berkata, keyakinan yang tinggi kepada kemampuan hospital itu dan pakar bedah jantung, Dr.David Khoo membuatkan beliau serta keluarga membuat keputusan agar suaminya Dwi Bina menjalani pembedahan di situ, walaupun di luar negara sendiri.

Dwi Bina menjalani pembedahan pintasan jantung kaedah baru itu pada 30 November selama satu jam lebih diketuai oleh Dr.David dan beberapa orang para pembantunya. Ia adalah pembedahan kaedah baru kali kelima di hospital berkenaan.

Dwi menjalani pembedahan 3 pintasan jantung (LIMA-Bilateral Radial Arteries) iaitu menggunakan salur darah dari tangan.



Kaedah ini membolehkan pesakit cepat sembuh kerana tidak memberhentikan fungsi jantung dan paru-parunya semasa pembedahan dijalankan.

Pembedahan kaedah biasa, jantung dimatikan fungsinya terlebih dahulu semasa pembedahan dengan menggantikan “pam jantung palsu” dalam tempoh pembedahan.

Ibu Nanie, iaitu emak kepada Dwi ketika ditemui mengakui kehebatan hospital berkenaan dan Dr,David yang telah lama dikenalinya kerana sebelum ini pun suaminya pernah menjalani pembedahan pintasan jantung dengan pakar itu.



“Ibu amat yakin dengan keupayaan Dr.David, lantaran itu ibu mahu anak ibu Dwi Bina juga menjalani pembedahan dengan pakar yang sama,” katanya ketika ditemui Pengarang Teganukita.