Halaman

07 December 2011

Kerajaan belanja besar beri subsidi turun harga barang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Pusat mengeluarkan peruntukan yang besar pada setiap tahun bagi membantu menstabilkan harga pelbagai barangan keperluan rakyat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan kerana ia berkaitan dengan negara pengeluar yang berdepan dengan pelbagai masalah seperti kemarau dan banjir.

Beliau berkata, jika negara pengeluar menghadapi bencana atau malapetaka, kenaikan harga barangan yang diimport dari negara tersebut tidak dapat dielakkan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Pusat mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi memberi subsidi harga barangan seperti tepung gandum dan gula untuk meringankan beban pengguna di negara ini, tanpa mengira pendapatan mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Mengenai cadangan pembinaan Hospital Daerah Dungun yang baru, beliau menjelaskan kertas kerja dari Kementerian Kesihatan sudah dikemukakan untuk kelulusan Kerajaan Pusat dan projek tersebut dijangka dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau berkata, hospital baru berharga RM350 juta itu mengandungi 200 katil dan memberi keselesaan kepada pesakit apabila siap dibina kelak.