Halaman

23 December 2011

Kerajaan mengiktiraf peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT)

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman menerima cenderamata daripada Noor Almizan

Kerajaan amat menghargai peranan dan tanggungjawab yang dilakukan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam usaha membina penyatuan masyarakat pelbagai kaum menerusi program yang diadakan oleh badan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar berkata, KRT ketika diwujudkan pada zaman pemerintahan Tun Abdul Razak Husein menjadi Perdana Menteri, dan masih releven sehingga sekarang.

Malah,katanya, KRT adalah antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memainkan peranan besar dalam memupuk semangat perpaduan dan kejiranan dikalangan rakyat negara ini.

“Kerajaan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada apa sahaja yang dilakukan oleh KRT untuk mengadakan program bersama komuniti,” katanya pada majlis Malam Seribu Harapan anjuran Pejabat Perpaduan Daerah Besut malam semalam.


Majlis bertujuan mengiktiraf KRT yang banyak menjalankan aktiviti kemasyarakatan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu,Tukimin Sarlan, Pegawai Perpaduan Daerah Besut,Noor Almizan Mahmood dan pegawai jabatan kerajaan daerah itu.

Lebih 200 pemimpin dan ahli jawatankuasa mewakili 33 KRT daerah itu menghadiri majlis bagi meraikan kejayaan KRT masing-masing.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut berkata, selain mendapat geran tetap RM4,800 daripada Kerajaan Pusat sebagai bantuan pentadbiran,manakala Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan khas kepada KRT negeri ini mulai tahun depan.

Pada majlis itu KRT Bandar Jertih meraih kejayaan besar apabila menerima enam anugerah daripada11 kategori yang diwujudkan sebagai menilai keaktifannya menjalankan aktiviti sepanjang tahun ini.