Halaman

04 December 2011

Kerajaan Terengganu belanja RM1.1 juta urus mangsa banjir

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.1 juta bagi menguruskan keperluan mangsa banjir yang melanda negeri ini, baru-baru ini.



Hampir 3,000 orang dari lima daerah di Terengganu terlibat dengan banjir tersebut yang turut melanda beberapa negeri lain, termasuk Kelantan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan pelbagai keperluan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata kini pihaknya sedang bersiap sedia bagi menghadapi banjir pusingan kedua yang diramalkan melanda Pantai Timur pada bulan ini.



“Kita sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir, termasuk di segi penyediaan bekalan makanan dan tempat pemindahan bagi menempatkan mangsa banjir,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri puas hati dengan prestasi agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan mangsa banjir kerana menjalankan tugas dengan sempurna.

Beliau berkata, tidak ada rungutan daripada mana-mana pihak kerana semua bekalan makanan dan urusan memindahkan mangsa banjir di seluruh negeri berjalan lancar.