Halaman

21 December 2011

Maidam anjur konvensyen saudara muslim

Oleh; Esah Abdullah

Konvensyen Saudara Muslim (KSM) Peringkat Negeri Terengganu mencatat sejarah perhimpunan terbesar membabitkan penyertaan 400 orang saudara baru termasuk 105 orang dari masyarakat Orang Asli.

Konvensyen yang berlangsung dua hari di Primula Beach Resort bermula esok itu membabitkan masyarakat Orang Asli dari Sungai Pergam, Kemaman, Sungai Berua, Hulu Terengganu dan Sungai Sayap, Besut.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, perhimpunan besar-besaran ini merupakan kali pertama diadakan dalam usaha menyimpul tali ukhuwwah sesama saudara muslim pelbagai ras keturunan, bangsa, bahasa pertuturan, darjat dan kedudukan.

Katanya, konvensyen tersebut akan disusuli KSM Peringkat Kebangsaan dan Terengganu menjadi negeri pertama menjadi tuan rumah pada konvensyen berkenaan yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur.

Menurut Haji Wan Harujan, konvensyen kebangsaan membabitkan penyertaan 800 orang saudara muslim dari seluruh negara diadakan pada 23 hingga 24 Disember pada tempat yang sama.

“Pelbagai pengisian termasuk ceramah, motivasi, wacana dan pembentangan kertas kerja untuk memupuk kesedaran dan kepentingan pemahaman ilmu agama serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian secara syumul,” katanya dalam sidang media di pejabat Maidam hari ini.

Katanya, Maidam sentiasa berusaha memberi panduan kepada saudara baru dengan memberi contoh akhlak dan perilaku Rasullullah s.a.w sebagai daya tarikan keindahan Islam terutamanya ahli keluarga yang belum Islam mahupun masyarakat non Muslim.