Halaman

18 December 2011

Pembangkang perlu bertanggungjawab

Oleh: Suriati Ali

Penyokong parti pembangkang dan pemimpinnya perlu bertanggungjawab kerana menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam sehingga berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di negeri ini masih berlarutan hingga sekarang.

Malah, Pas melalui kepimpinan tertinggi parti itu perlu bersungguh-sungguh dengan mengikis sikap ego mereka supaya penyokongnya tidak lagi terikut-ikut dengan `fatwa' mewajibkan solat berasingan dengan umat Islam daripada parti lain khususnya UMNO.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menegaskan, parti tersebut sewajarnya dipersalahkan kerana membeza-bezakan antara masjid milik kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan masjid Pas sehingga menyebabkan umat Islam berpecah belah.

Menurut beliau, amalan seumpama itu mesti dihentikan bagi memastikan keharmonian kalangan umat Islam terus kukuh dan perpecahan dapat dielakkan daripada menjadi bertambah serius.

"Pas telah menimbulkan perpecahan kalangan umat Islam seperti bina masjid dengan cat hijau dan pasang bendera parti. Tempat ibadat bukan untuk parti tapi demi agama Islam dan untuk keselesaan umatnya.

"Tapi bila (Pas) menang (pilihan raya), mereka guna untuk bersembahyang di masjid kita (kerajaan) tapi bila kalah, mereka lari pula.

"Sedangkan hukum tak boleh diubah-ubah. Masalah ini adalah soal politik kepartian telah mengatasi Islam," katanya kepada pemberita selepas program Hari Keluarga Wisma Darul Iman, di Stadium Tertutup di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (17 Disember).

Dato’ Seri Haji Ahmad diminta mengulas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam yang melahirkan rasa dukacita kerana kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di negeri ini masih berlaku.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar kesucian agama Islam, seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turut mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong kejadian solat berasingan dalam satu kariah, kebanyakannya terletak di Besut dan Marang.

Dato’ Seri Haji Ahmad selanjutnya memberi contoh, kejadian solat Jumaat berasingan dalam satu kariah berlaku di Jabi, Setiu yang jarak antara masjid kerajaan BN dan masjid hanya beberapa meter antara satu sama lain.

"Masjid adalah sebuah institusi ibadat untuk perpaduan serta kebaikan umatnya, malangnya mereka sampaikan khutbah dengan mengutuk orang. Mana boleh dalam masjid, mereka kutuk, hina, caci dan hina orang," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) supaya mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah tersebut demi perpaduan umat Islam.

Tambahnya, selain daerah Besut, masalah sedemikian turut dikesan di daerah lain iaitu Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.