Halaman

24 December 2011

Pemimpin PAS diminta buat permohonan

Oleh: Mohammad Ishak


Pemimpin Pas disaran supaya mengemukakan permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mendapatkan pengiktirafan bagi mencari jalan penyelesaian masalah dua solat Jumaat berasingan dalam satu kariah yang berlaku di negeri ini sejak lebih 30 tahun lalu.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, pihak terbabit boleh memohon kebenaran daripada MAIDAM supaya proses mewartakan markas dan masjid yang dijadikan pusat solat Solat Jumaat berasingan dalam satu kampung untuk diwartakan oleh kerajaan.

Katanya, pemimpin Pas sepatutnya menggunakan saluran berkenaan supaya masalah yang berlaku dikalangan umat Islam dapat diselesaikan secara berhemah dan mengembalikan semula perpecahan sesama sendiri akibat perbuatan itu.

Menurutnya, kegiatan penyokong Pas mendirikan solat Jumaat berasingan membabitkan 11 masjid di negeri ini sepatutnya tidak berlaku jika umat Islam sendiri tahu yang mana masjid yang diiktiraf pemerintah dan masjid yang dibina untuk dijadikan tempat mencerca pemimpin kerajaan.

Abdullah yang juga bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu berkata, menerusi Enekman Pentadbiran Islam Terengganu dengan jelas menyebut hanya masjid yang diwartakan pemerintah sahaja boleh digunakan untuk solat Jumaat.

“Apa yang berlaku sekarang markas dan masjid milik parti Pas bukan sahaja dijadikan gelanggang politik dan ceramah menghentam pemimpin kerajaan malah banyak sepanduk dan bendera parti dipasang di tempat berkenaan,” katanya.


Katanya, beliau sedih dengan sikap pemimpin Pas yang menyalahkan Umno kononnya memberi fakta salah kepada Sultan Terengganu,Sultan Mizan Zainal Abidin apabila Sultan Terengganu membangkitkan isu berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, mengikut enekmen berkenaan jarak pembinaan masid dalam satu-satu kampung ialah 1.5 kilometer dari masjid sedia ada dan beberapa syarat lain termasuk memohon kebenaran dari pihak berkuasa apabila ada pihak ingin membina masjid untuk dijadikan tempat solat Jumaat.