Halaman

09 December 2011

Penubuhan daerah Kuala Nerus naikkan moral BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Cadangan kerajaan negeri menjadikan Kuala Nerus sebagai suatu daerah pentadbiran baru, mendapat pujian pelbagai pihak kerana ia memang sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Langkah tersebut juga disifatkan mampu menaikkan moral Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar bisikan nurani dan kehendak rakyat, serta cakna kepada keperluan mereka.

Mereka berpendapat langkah tersebut kena pada masa bagi memajukan Kuala Nerus yang kini menempatkan pelbagai institusi pengajian tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB Haji Muhammah Ramli Nuh berkata, penduduk di kawasan berkenaan kini tertunggu-tunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Besar berhubung penubuhan daerah baru Kuala Nerus.

“Saya bagi pihak penduduk di Kuala Nerus merakamkan penghargaan dan berterima kasih dengan komitmen dan perhatian serius yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri bagi mewujudkan daerah Kuala Nerus.

“Saya sendiri dan beberapa wakil rakyat sebelum ini sentiasa berjuang dan mengemukakan pandangan kepada kerajaan negeri agar diwujudkan daerah Kuala Nerus,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sewaktu membentangkan Bajet 2012 baru-baru ini mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta sebagai persediaan awal bagi mewujudkan daerah Kuala Nerus.

Peruntukan bagi tahun depan itu bagi memulakan kerja-kerja ke arah mewujudkan pusat pentaddiran apabila pentadbirannya dipisahkan daripada daerah Kuala Terengganu kelak.

"Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mendengar keluhan rakyat dan bersedia memenuhi kehendak mereka," ujar beliau.

Cadangan menjadikan Kuala Nerus sebagai suatu daerah pentadbiran baru telah disuarakan sejak sekian lama oleh para pemimpin setempat.

YB Haji Muhammad Ramli berkata, pengumuman tersebut akan menaikkan moral kerajaan BN di kalangan penduduk negeri ini, khususnya di Kuala Nerus.

“Kita harap penubuhan daerah baru ini akan memudahkan pihak kerajaan menangani pelbagai masalah yang berlaku di kawasan ini,” ujarnya.