Halaman

05 December 2011

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI (HARI PERTAMA))

Peruntukan RM50 juta untuk dana pinjaman perumahan

Oleh:Suriati Ali



Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi memudahkan rakyat di Terengganu yang belum memiliki rumah membuat pinjaman perumahan.

Mereka yang memenuhi syarat dan berkelayakan, boleh memohonnya melalui Dana Pinjaman Perumahan Rakyat, bermula tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata skim itu kini masih diperhalusi terutama mengenai kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman.



Katanya, setiap pemohon boleh meminjam sehingga kadar RM50,000 dan apa yang istimewanya pinjaman tersebut berteraskan undang-undang syariah.

“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dari segi mendapat kemudahan rumah,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, bajet yang diperuntukkan tahun ini iaitu RM1.950 billion adalah yang tertinggi setakat ini berbanding tahun lepas (RM1.887 billion).

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh mengelak untuk mengeluarkan belanja yang besar, jika kita kecilkan bajet, ini bermakna tiada pembangunan untuk rakyat.

“Daripada jumlah bajet yang dikeluarkan itu, kira-kira RM600 juta dibelanjakan untuk pembangunan dan selebihnya untuk pengurusan.

“Di Terengganu, kita sememangnya terpaksa mengeluarkan belanja yang cukup besar. Di negeri lain tiada yayasan tetapi di negeri ini kita wujudkan empat yayasan semata-mata untuk menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat,” katanya.

Menurutnya, di negeri sebelah Pantai Barat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mereka mempunyai banyak duit sehingga RM100 juta bagi setiap tahun, tetapi di Terengganu tidak, jika ini berlaku kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja.

“Terdapat beberapa perkara baru semata-mata untuk kesejahteraan rakyat, termasuk menwujudkan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat membabitkan peruntukan RM50 juta.

“Bagi golongan belia dan remaja pula, kira-kira RM30 juta dibelanjakan.Daripada jumlah itu RM48 juta bagi membina gelanggang futsal di setiap DUN dan selebihnya untuk pelbagai program,” katanya.

Katanya, pelbagai projek sudah dilaksanakan kerajaan negeri, contohnya dalam membina rumah, tiada kerajaaan sebelum ini mampu membina rumah berjumlah 10,000 dalam tempoh tiga tahun di mana setiap rumah itu tidak kurang daripada jumlah harga RM100,000.

“Kerajaan negeri memberikan subsidi sehingga 50 peratus bagi rumah kos rendah yang dibina, manakala bagi Pangsapuri Ladang Gemilang berharga RM150,000, dijual dengan harga RM75,000.

“Begitu juga dengan kadar sewa hanya dikenakan RM300. Kita buat kajian kalau rumah di kawasan itu biasanya mencecah RM600 hingga RM700. Bagaimanapun kadar sewaan ini hanya dibuka kepada mereka yang terlibat dalam perpindahan itu sahaja,” katanya