Halaman

27 December 2011

TATIUC, University Collage of Dublin jalin kerjasama

Oleh FAUZI MOHD

Bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajaran dan penyelidikan, Kolej Universiti Tati (TATIUC) baru-baru ini telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan University Collage of Dublin, Ireland.

Rektornya, Dr. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, kerjasama itu bagi membuka peluang kepada pelajar TATIUC dan penuntut Terengganu melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di universiti tersebut.

Menurutnya, pihak universiti itu bersetuju memberi kadar yuran istimewa kepada TATIUC dengan pengurangan yuran sebanyak 40 hingga 60 peratus.

“Perkembangan ini membuktikan kualiti pendidikan di TATIUC telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan di Awanal Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kemaman malam tadi.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd Rahman.

Sebelum ini kata Dr. Rozailan, TATIUC telah mendapat kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi luar negara termasuklah MIE University (Jepun), Universiti Sumatera Utara (Indonesia) dan Queen's University of Belfast (Ireland) dan Universiti Kookmin (Korea Selatan).

"Pihak kami berharap kerjasama dengan universiti berkenaan dapat membantu memperkasakan program-program akademik serta bidang penyelidikan yang bermutu tinggi," ujarnya.



Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada 15 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang seramai 35 orang.

Kata Dr. Rozailan, sejak ditubuhkan pada Jun 1993, TATIUC kini mempunyai 336 orang kakitangan dan 95 orang daripada mereka telah berkhidmat lebih dari 10 tahun.