Halaman

08 December 2011

Terengganu tidak alami lambakan sarang burung walit

Oleh: Suriati Ali

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu tiada lambakan sarang burung berlaku di negeri ini sebaliknya permintaan terhadap produk itu semakin meningkat dan menggalakkan .

Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu, rata-rata pembeli atau pemborong memerlukan produk itu dalam kauntiti yang banyak, jika dapat mengeksport nya ke Guangzhou, China, mereka memerlukan kira-kira 2 tan bagi tempoh sebulan.
“Harga bagi setiap sekilogram pula sangat mahal iaitu mencecah RM6,000.

“Sarang burung walit di Terengganu diakui berkualiti dan bersih oleh pembeli berbanding di negeri lain, kerana ianya bebas daripada sebarang percemaran udara,” katanya ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (Tepoh-BN).

Katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan atau meluluskan mana-mana permohonan sekiranya ada individu ingin mengusahakan ternakan itu di kawasan bandar.
“Kita terpaksa bertindak tegas bagi mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk, diserang penyakit, rungutan dan gangguan bunyi.

“Pada masa sama, kerajaan negeri ingin berpesan kepada mana-mana pengusaha supaya jangan terlalu ghairah mendapat hasil sehingga gagal memikirkan lokasi sesuai untuk dijadikan sarang,” katanya.

Menurutnya, menyedari bidang ini mendapat sambutan di luar jangkaan, pihaknya bersedia menerima permohonan daripada mana-mana individu yang ingin menukar status tanah pertanian kepada kawasan ternakan atau industri burung walit.