Halaman

01 December 2011

Terengganu wujud hubungan baik dengan Arab Saudi

Kerajaan Terengganu berjaya mengadakan hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi menerusi penghantaran hakim mahkamah syariah negeri ini menghadiri kursus kehakiman di negara Teluk itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata bermula tahun lalu kerajaan negeri telah menghantar seramai 20 hakim mahkamah syariah mengikuti kursus selama sebulan di Riyadh.

"Segala biaya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim mahkamah berkenaan menghadiri kursus Mediasi Lanjutan di Australia tahun ini.

Beliau berharap pegawai-pegawai yang telah berjaya mengikuti kursus tersebut mempraktik dan melaksanakan apa yang diperolehi dalam penghakiman setiap hari.

"Semoga hakim dapat menyelesaikan segera kes-kes yang tertunggak sebelum ini," katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, yang lebih penting lagi pihak-pihak yang bertelagah tidak merasakan diri mereka dianiayai dan mengelak masyarakat daripada membuat tuduhan yang tidak baik.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata mahkamah syariah seluruh Terengganu berjaya menyelesaikan kira-kira 340 kes setiap bulan atau lebih 15,000 kes setahun.

Menurut beliau, kebanyakan kes itu ialah mengenai perceraian dan tuntutan nafkah dan kini nota bicara kes di mahkamah dapat diselesaikan dalam masa satu jam selepas perbicaraan berbanding tiga atau enam bulan sebelum ini.