Halaman

15 January 2011

PAS GANTI UMNO? SERIK DOH!!

Oleh: Penulis Khas

Beberapa sepanduk dan momokan Pas ganti Umno sedang dibuat di negeri ini, mungkin itu antara aktiviti biro perang saraf parti berkenaan di Terengganu.

Kita ucap tahniahlah kepada biro gerak saraf Pas Terengganu walaupun mereka tahu sebenarnya kata-kata itu sekadar hendak menyedapkan hati puak-puak mereka sahaja dan menakut-nakutkan orang Umno.


Bukan senang untuk menutup kesalahan dan kemungkaran semasa Pas berkuasa di Terengganu November 1999- Mac 2004.

52 bulan Pas berkuasa di Terengganu telah cukup menyebabkan rakyat menjadi serik, kecuali bagi orang dan penyokong Pas “totok” yang melihat Pas seperti agama dan pemimpin mereka teramat hebat.

Apatah lagi, pemimpin mereka sendiri meletakkan gelaran yang hebat kepada diri mereka sendiri, ‘Tuan Guru’ yang terpampang sebagai nama rasmi mereka. Adakah layak ulamak dan pemimpin Islam dengan sifat angkuh, sombong dan takabur menggelarkan diri mereka sebagai Tuan Guru?

Kini terpampang pula di kain rentang ; seolah-olah rakyat Teregganu semudah itu melupakan kerosakan di muka bumi Terengganu dilakukan Pas semasa berkuasa.

Tuan Guru mereka yang telah menyebabkan kawasan balak tergadai di Terengganu dalam tempoh 52 bulan kekuasaan Tuan Guru, gelaran ciptaan sendiri untuk membangkit sokongan para penyokong.

Kerajaan Negeri Terengganu sekarang terpaksa berdepan dengan saman RM1 billion angkara kemungkaran pemimpin Pas sewaktu mentadbir dan berkuasa di negeri Terengganu. Melulus dan menarik balik sesuka hati kawasan balak mega hanya kerana wang!

Masihkah kau ingat, kawasan-kawasan balak diberikan sewenangnya kepada kroni dan puak juak pemimpin Pas, termasuk apa yang disebut pemimpin JSR pun dapat balak?

Masihkah kau ingat, kawasan balak 10,000 ekar hutan dara di Hulu Dungun diluluskan oleh Tuan Guru yang berkuasa di Terengganu itu kepada syarikat kroninya yang dipimpin oleh mereka yang mengetuai akhbar rasmi parti mereka.

Masihkah kau ingat, anak Exco Kerajaan Pas Terengganu pun balon wang zakat? Kata hendak dipulangkan semula apabila terbongkar, tetapi sampai sekarang tidak dipulangkan.

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah Terengganu anak-anak Tadika Kemas dihalau dari balai raya, hingga ada yang berpindah di bangsal keropok, kedai kopi dan sebagainya.

Sekarang anak-anak yang pernah dihalau itu sudah pun meningkat remaja berada di sekolah menengah, berumur antara 16 - 17 tahun. Mereka pasti tidak lupa!

Masihkah kau ingat, semasa Pas perintah, diadakan pesta-pesta termasuk Pesta Thai, yang mengandungi tukang-tukang urut perempuan dari negara itu dibenarkan mengurut pelanggan lelaki di Pusat Dagangan Terengganu?

Banyak lagilah kalau hendak disenaraikan semula kemungkaran kemungkaran di zaman Pas memerintah Terengganu….Serih Doh!!
Ini datang pula sekali lagi dengan momokan hendak ganti Umno. Tidak malu!!

TEGANUKITA

berita penuh

SIAPA BAKAL SETIAUSAHA, BENDAHARI DAN KETUA PENERANGAN UMNO TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menjadi teka-teki siapakah agaknya Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Umno Terengganu di bawah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Ahmad Said yang buat kali kedua diberi amanah menjawat jawatan itu.

Sudah pasti kemungkinan besarlah, jawatan-jawatan pegawai tinggi dalam Umno Terengganu itu akan diumumkan dalam Mesyuarat Pertama Umno Terengganu pimpinan kali kedua Dato’ Seri Ahmad pada Isnin ini 17 Januari 2011, sebaik majlis penyerahan tugas dari bekas Pengerusi, Datuk Sri Hihsamuddin Tun Hussien (Naib Presiden Umno).


Majlis dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Semasa Datuk Sri Hishamuddin menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 menggantikan Dato’ Seri Ahmad (Dato’ Seri Ahmad menjadi Timbalan) beliau telah melantik YB Tengku Putera Awang, (Setiausaha), YB Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.

Amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.

Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.

“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.

Bendahari pula bukan sahaja mampu menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.

Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.

“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.

Mereka berharap dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Ahmad selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan para pegawai parti yang bakal dilantik meneruskan kembali gerakan memperkasakan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong.

TEGANUKITA

berita penuh

RM37 JUTA SETAHUN BIAYAI BIASISWA DAN PINJAMAN PELAJAR KE IPT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Negeri Terengganu, khususnya di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said sebenarnya negeri yang menjunjung pendidikan di tempat paling tertinggi dan hasilnya juga ialah kejayaan amat tinggi.

Terengganu mempunyai rakyat 1.1 juta membelanjakan RM37 juta setahun untuk membiayai biasiswa dan pinjaman bagi pelajarnya yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), berbanding dengan negeri lain yang tidak sampai kepada angka itu.


Berbanding ada negeri lain rakyatnya 3.5 juta, tetapi berbelanja untuk itu sekadar RM7 juta sahaja setahun, demikian diberitahu Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin yang hadir di perasmian Karnival Jom Masuk U, di Kuala Terengganu petang semalam (14 Januari) dimaklum tentang hal itu.

RM13.7 juta tahun lepas untuk bantuan persediaan pelajar ke IPT dan asrama penuh:
Dato’ Seri Ahmad berkata, bayaran persediaan untuk ke IPT dan asrama penuh juga amat besar dibelanjakan setiap tahun secara percuma bagi memastikan semua golongan kaya dan miskin dapat menyambung pelajaran.

Tahun lepas (2010) sebanyak RM13.7 juta dibelanjakan bagi tujuan itu membabitkan 23.000 pelajar. Untuk ijazah bantuan persediaan awal itu diberi sebanyak RM1,000, bagi diploma RM750 manakala bagi asrama penuh RM500.

“Kalau dulu ibubapa terpaksa bergadai dan jual apa sahaja untuk hantar anak belajar ke universiti atau asrama penuh, tetapi sekarang kerajaan bantu, suatu yang amat disyukuri” kata seorang bapa yang ditemui di majlis itu.

Terengganu Juara dalam semua keputusan peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM:
Dato’ Seri Ahmad menjelaskan perbelanjaan yang besar oleh pihaknya di bidang pendidikan sebenarnya melakarkan kejayaan setiap tahun sejak kebelakangan ini, bukan sahaja dalam UPSR tetapi juga dalam SPM dan STPM.

Contohnya, kata beliau Terengganu berturut-turut sepuluh tahun juara UPSR seluruh negara, malah PMR juga tahun ini masuk tahun ketiga menjadi juara dengan seramai 1,746 pelajar di negeri ini mendapat A kesemuanya, tidak termasuk pelajar anak Terengganu yang berada di negeri lain seperti MRSM dan sebagainya.

Tahun lalu juga negeri ini juara dalam SPM buat kali pertama dan kali kedua juara dalam STPM berturut-turut, menjadikan Terengganu negeri JUARA PENDIDIKAN ATAU PELAJARAN.

“Sebab itulah kita katakan, TERENGGANU ADALAH NEGERI ANJUNG ILMU dan kita terus berusaha untuk menjayakannya” kata Dato’ Seri Ahmad.

Menteri Besar Terengganu menyatakan perkara ini sewaktu berucap merasmikan Karnival Jom Masuk U yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohd.Khalid Nordin.

Tujuan program ini ialah untuk membolehkan pelajar dan ibubapa mengetahui peluang dan hala tuju untuk ke IPT .

TEGANUKITA

berita penuh

469,500 TEMPAT UNTUK PELAJAR MELANJUTKAN PELAJARAN IPT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

“469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara,” kata Menteri itu..


“Bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti”

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya berucap di Karnival Jom Masuk U, yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu semalam (14 Januari).

Katanya lagi, kementeriannya sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementeriannya juga akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

TEGANUKITA

berita penuh

14 January 2011

Golongan Veteren UMNO Di Iktiraf

Oleh : Raja Faisal Raja Haron

“Sikap bersatu hati semua pemimpin serta pejuang UMNO boleh memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-13 “ menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap di Majlis Mesra Veteren Bersama Pemimpin 2011 yang bertemakan “jasamu dikenang “ ,semalam (13 Januari).

Majlis yang di anjurkan oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) bersama Majlis Veteren UMNO bahagian Dungun dan Kemaman bertempat di Dewan Utama Perbandaran Dungun dan disusuli di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman(MPK) adalah usaha untuk merapatkan golongan veteren UMNO dengan kepimpanan UMNO masa kini.


Beliau yakin, dengan Jumlah ahli veteren UMNO berumur 60 tahun ke atas seramai 47,345 orang yang berdaftar sebagai pegundi yang hampir 9% daripada jumlah pegundi seluruh negeri Terengganu dan jika disatukan dengan ahli-ahli sayap parti UMNO yang lain, ia akan menghasilkan satu jumlah undi yang besar untuk memastikan kemenangan piliharaya akan datang.

Beliau amat menghargai dan berterima kasih kepada golongan veteren yang telah banyak memberi jasa-jasa dan bakti mereka kepada parti dan rakyat agar dapat mengecapi nikmat yang kita dapat pada hari ini.

Beliau juga menegaskan agar ahli UMNO tidak bersikap seperti ‘duri dalam daging’, Jangan disebabkan tidak berpuas hati dengan UMNO, ada antara ahli UMNO yang sanggup menjatuhkan UMNO.

“Sebaliknya sebagai pejuang sebenar, kita perlu sanggup mengorbankan jiwa raga demi memperkasakan parti, bak kata orang ‘adat berparti, parti dipertahankan’,” katanya.

Sempena majlis berkenaan juga, MB turut menyerahkan bantuan kerusi roda dan menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada 20 ahli Majlis Veteran UMNO Bahagian UMNO Dungun dan Kemaman yang banyak berjasa dalam perjuangan parti.

Ini satu pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap Jasa dan khidmat golongan veteren UMNO dalam memperjuangkan parti selama ini.

TEGANUKITA

berita penuh

13 January 2011

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Unit Komunikasi Negeri Terengganu mengadakan jalinan hubungan dan rakan strategik dengan pihak media massa. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) mengadakan jalinan hubungan dan rakan strategik dengan pihak media massa.

Program Bicara Bersama Media telah membuka tirai hubungan mesra itu bagi tahun 2011, diadakan pada hari semalam (12 Januari 2010) bertempat di sebuah hotel di Kuala Terengganu.


Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato Tengku Putera Awang yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, menjadi tetamu UKOM bagi menjayakan Bicara Bersama Media itu.

Kira-kira 30 orang wakil-wakil media hadir.

Bicara Bersama media itu berkonsepkan kemesraan di samping menyampaikan info kepada pihak media untuk disebarkan kepada rakyat melalui penerbitan masing-masing.

Dato’ Tengku Putera memuji langkah UKOM yang mendekati pihak media dan berharap lebih banyak program bersama media dianjurkan.

Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program itu akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan tetamu yang berbeza.

Katanya, kerajaan negeri menghargai peranan media yang banyak membantu kerajaan dalam menyebarkan info kerajaan kepada rakyat.

“Insya -Allah, UKOM merancang beberapa program untuk media bagi tahun ini,” katanya.

Dalam dialog dengan wakil-wakil media, pihak media meminta supaya agensi kerajaan dan ahli-ahli politik melihat apa permasalahan yang didedahkan akhbar secara positif.

Mereka menyatakan, pihak media juga memberI ruang untuk jawapan balas, komen atau ulasan ke atas permasalahan yang didedahkan dan bukannya berniat untuk menimbulkan keadaan yang tegang.

Turut hadir, Penyelidik Kanan Menteri Besar, Hambali Abdul Lattif, Timbalan Pengarah UKOM, Ruslan Abdul Rahman dan pegawai dari Jabatan Penyiaran (RTM), Kuala Terengganu.

TEGANUKITA

berita penuh

Umno Terengganu Sepakat

Saf kepimpinan baru UMNO Terengganu bakal menerima mandat penuh daripada semua ketua bahagian dalam melaksanakan tugas mereka, khususnya persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Senarai penuh saf kepimpinan UMNO Terengganu yang kini diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan diumumkan pada 17 Januari depan, selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu, di Putrajaya.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata semua ketua UMNO bahagian memberi mandat kepada kepimpinan parti untuk memilih saf kepimpinan UMNO Terengganu yang baru berikutan pemilihan Menteri Besar sebagai Pengerusi Perhubungan.

Sebelum ini, Dato’ Seri Haji Ahmad dilantik mengetuai Badan Perhubungan UMNO Terengganu bagi menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dalam rombakan yang turut membabitkan beberapa negeri lain.

Dato’ Tengku Putera berkata, UMNO Terengganu makin bertenaga dalam melaksanakan gerak kerja, berikutan pelantikan Menteri Besar sebagi teraju utama parti.

“UMNO Terengganu yakin Menteri Besar akan mendapat kerjasama penuh daripada semua ketua bahagian dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usaha memantapkan lagi parti menjelang pilihan rayu umum akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di majlis Bicara Bersama Media, anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) yang diadakan di Hotel Tanjong Viesta, petang semalam (12 Januari).

“Selepas ini, kita (UMNO Terengganu) akan memperkemaskan lagi jentera parti dan melakukan gerak kerja bagi menambah sokongan pengundi kepada parti,” tambahnya.

Unit Komunikasi Negeri

TEGANUKITA

berita penuh

12 January 2011

Dua Saksi Beri Keterangan Kes SMS Ugutan Bunuh

Oleh: Suriati Ali, Shahrir Abd Hamid dan Raja Faisal Raja Haron (Praktikal)

Saksi Deputi Superitenden Polis (DSP)Ahmad Fauzi Mohd Nor, 31 sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Terengganu pada perbicaraan hari kedua hari ini tampil sebagai saksi seterusnya bagi perbicaraan kes SMS berunsur ugutan bunuh.


Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu pagi ini (12 Januari), saksi memberitahu mahkamah beliau menerima arahan daripada Asisten Superintenden (ASP) Hazwan untuk menghubungi Dato’ Rosol Wahid (Ahli Dewan Undangan Negeri kawasanAjil).

Berikut adalah catatan soal-jawab berkenaan:
Pendakwa Raya: DSP, adakah kamu menerima arahan daripada mana-mana pihak untuk menghubungi Dato’ Rosol ?
Ahmad Fauzi: Ya, saya ada menerima arahan daripada ASP Hazwan untuk menghubungi Dato’ Rosol pada 25 April 2009 jam 5 petang.

Pendakwa Raya: Apakah arahan ASP Hazwan ketika itu ?
Ahmad Fauzi: ASP Hazwan mengarahkan supaya merampas telefon bimbit dan kad sim milik Dato’ Rosol.

Pendakwa Raya: Bila arahan itu dijalankan ?
Ahmad Fauzi: Pada 26 April 2009 dan jam 1.00 petang, saya telah menghubungi Dato’ Rosol meminta beliau supaya hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan saya.

Pendakwa Raya: Adakah beliau datang ?
Ahmad Fauzi: Ya, ada, Dato’ Rosol datang jam 1.20 tengah hari.

Pendakwa Raya: Apakah kamu buat ketika itu ?
Ahmad Fauzi: Saya meminta Dato’ Rosol menyerahkan telefon bimbit dan kad sim.

Pendakwa Raya: Berikan jenama telefon.
Ahmad Fauzi: Jenis Nokia E90 beserta sekeping kad sim.

Ketika ini DSP Ahmad Fauzi, membuat pengecaman telefon yang ditunjukkan Pendakwa Raya dan mengesahkan benar iaitu Nokia E90 dan kad sim yang dirampas.

Pendakwa Raya: Kamu buat laporan polis tentang rampasan itu.
Ahmad Fauzi: Ya, saya ada membuat laporan polis berkaitan rampasan Nokia E90 dan kad sim.

Selepas itu Pendakwa Raya memanggil saksi Lans Koperal Nuvaraj a/l Subaramaniam, 31.

Pendakwa Raya: Apakah tugasan kamu ?
Nuvaraj : Tugas sebagai Jurufoto Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu,

Pendakwa Raya: Adakah kamu bekerja dalam tempoh 24 jam ?.
Nuvaraj : Ya, saya bekerja 24 jam bermula dari jam 12 tengah malam pada 14 April 2009 sehingga 12 tengah malam keesokan harinya.

Pendakwa Raya: Siapa yang mengarahkan kamu untuk merakam gambar ?
Nuvaraj : Saya menerima arahan daripada Inspektor Muhaniza pada jam 1.50 pagi di pejabatnya di IPD, Kuala Terengganu.

Ketika ini Jurufoto Lans Koperal Nuvaraj a/l Subaramaniam, mengenalpasti gambar yang dirakam dan mengesahkan bukti tersebut adalah benar.

Pendakwa Raya: Adakah kamu kenal pemilik sebenar telefon bimbit itu ?
Nuvaraj : Saya tidak kenal, kerana melalui pintu belakang bilik Inspektor Muhaniza dan berjalan membelakangi pemilik telefon.

Pendakwa Raya: Ada kamu mengambil gambar SMS ?
Nuvaraj : Ya, saya ada mengambil gambar SMS.

Pendakwa Raya: Apakah kandungan SMS itu ?
Nuvaraj : SMS berbunyi, `baik jangan teruskan, YB tak sayang nyawa?’.

Pendakwa Raya: Adakah barang kes itu terkandung dalam laporan polis ?
Nuvaraj : Ya, ada dalam laporan polis Kuala Terengganu, 3285/09.

Pendakwa Raya: Siapa yang menyusun barang kes ?
Nuvaraj : Barang kes disusun oleh ASP Hazwan.

Pendakwa Raya: Berapa keping gambar yang kamu ambil ?
Nuvaraj : Sebanyak sepuluh keping yang diambil pada ketika itu.

Pendakwa Raya: Bila gambar itu diambil ?
Nuvaraj : Pada 11.5.2009 jam 5.00 petang.


Pendakwa Raya: Di mana gambar itu dirakam dan siapa yang mengarahkannya?
Nuvaraj : ASP Hazwan yang arahkan dan gambar itu diambil di alamat E-726, Jalan Kubang Parit, Jalan Kuala Berang, Kuala Terengganu.

Pendakwa Raya: Siapakah yang ada bersama ketika itu?
Nuvaraj : ASP Hazwan dan beberapa anggota dari unit Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Kuala Terengganu

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chooi Gaik.

Hakim kemudianya menetapkan perbicaraan bersambung pada 7 hingga 10 Mac 2011.


TEGANUKITA

berita penuh

Tingkat Keindahan Sepanjang Muara

Oleh: Esah Abdullah

Lampu limpah dan lampu hiasan akan dipasang sepanjang muara sungai Terengganu bagi menambah keindahan dan keceriaan kawasan yang menjadi laluan bot pelancong menuju ke destinasi melalui air.

“Kerja-kerja pembersihan sungai turut dilakukan dalam masa terdekat yang akan diserahkan kepada kontraktor,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita di D’Muara Live Seafood, Kampung Losong, Kuala Terengganu, hari ini (12 Januari).


Katanya, bandar Kuala Terengganu kekurangan tempat menarik untuk membawa keluarga dan rakan-rakan makan sambil bersantai pada waktu malam dan dengan adanya `D’Muara Live Seafood’ ini dapat memberi pilihan kepada pengunjung sambil menyedup udara segar.

“Di sini juga akan menjadi salah satu tempat persinggahan bagi bot-bot yang membawa pelancong sebelum ke Kompleks Kraf Batik, Tanjung Bunut, Taman Tamadun Islam dan Muzium Terengganu,” katanya.

D’Muara Live Seafood yang beroperasi pada akhir tahun lalu membabitkan kos pengubahsuaian sebanyak RM200,000 merupakan rangkaian T’Kafe yang dibangunkan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meninjau operasi kedai makan yang menyajikan masakan Melayu dan Cina selain turut menikmati masakan yang disediakan.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri bermula pada pertengahan bulan depan dengan peruntukan RM12 juta.

“Keluarga yang berpendapatan RM1,200 ke bawah layak menerima bantuan ini bernilai RM100 seorang dan setiap keluarga layak untuk dua orang anak yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah,” katanya.

TEGANUKITA

berita penuh

11 January 2011

PEMBICARAAN DATO’ DR.AHMAD RAMZI TERUS HANGAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Shahrir Abdul Hamid





Pembicaraan SMS ugutan bunuh yang melibat pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh diteruskan lagi pada hari ini (11 Januari 2011) di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara tertuduh Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.


Pembicaraan kes SMS ugutan bunuh kembali hangat dengan penampilan dua orang saksi iaitu Penolong Pengurus Telekom Malaysia, Marzita Maarof sebagai saksi ke 20 dan Pegawai Eksekutif Celcom, Abdul Rahman Othman saksi ke 21.

Kedua-dua saksi menjelaskan kepada mahkamah tentang bidang tugas masing-masing dan kaitannya dengan penyiasatan kes berkenaan.

Marzita memberitahu mahkamah, bidang tugas beliau ialah menganalisa e-mail dan SMS pelanggan bila diminta oleh pihak yang bertanggungjawab.

Menjawab soalan pendakwa, Marzita berkata, dalam hal ini beliau diminta oleh Pegawai Penyiasat kes untuk menganalisa data SMS berkaitan kes tersebut.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwa, beliau menjelaskan setiap pelanggan mempunyai ’ ID ‘ serta ‘password’ yang membolehkan pihaknya menganalisa secara tepat dan terperinci penghantar SMS.

Pembicaraan hari Ini lebih kepada dari segi teknikal untuk mengesahkan nombor dan butiran-butiran penghantar yang terbabit dalam kes ini.

Jelaslah di sini bahawa setiap transaksi yang digunapakai oleh pelanggan direkod oleh pihak Telekom, tetapi ia adalah rahsia kecuali dibuat semakan apabila mendapat arahan daripada pihak berkuasa seperti Polis (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Perkara ini dipersetujui oleh saksi ke 21, Abdul Rahman Othman yang memberitahu mahkamah pihaknya akan membuat semakan sekiranya mendapat permohonan dari pihak berkuasa untuk membuat siasatan ke atas satu-satu kes.

Saksi Abdul Rahman juga memberitahu nombor-nombor yang telah dikesan yang mempunyai hubungkait dengan kes yang dalam penyiasatan termasuk Abdul Halim Jusoh, Elia Ismail serta Ariffin Abdullah.

Kes yang berakhir pada petang ini akan bersambung esok 12 Januari 2011, difahamkan beberapa orang lagi saksi akan tampil memberi keterangan termasuk beberapa orang anggota polis yang terbabit dalam penyiasatan kes SMS ugutan bunuh ini.

TEGANUKITA

berita penuh

MB Lawat Mangsa Simbahan Asid di Hospital

Oleh : Mohamad Shahrir dan Raja Faisal

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, meluangkan masa melawat mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan (Lin), 9, yang menjalani pembedahan wajah di Hospital Nur Zahirah (HSNZ), tengahari semalam (10 Januari).

Mangsa menjalani pembedahan bagi membaiki wajahnya yang rosak teruk akibat terkena simbahan asid pada 15 Ogos tahun lalu, menjalani pembedahan di hospital tersebut pada 9 Januari lalu.


Menteri Besar yang diiringi Pengarah HSNZ, Dr. Hajah T. Ramelah T. Senik berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada Lin bagi memastikan dia mampu ke sekolah serta menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerajaan negeri sedaya upaya akan menolong adik Lin sekiranya memerlukan kepakaran mahupun bantuan luar. Kita juga akan memberi bantuan daripada segi pendidikan, perubatan serta kebajikan kepada mangsa”, katanya kepada media selepas lawatan berkenaan.

Adik Lin yang semakin stabil selepas menjalani pembedahan membuang parut dan menampal kulit muka diketuai Pakar Perunding Pembedahan Plastik, Dr. Najiha Syarida Zakaria, gembira menerima kunjungan Menteri Besar.

Pada masa yang sama, Dato’ Seri Ahmad juga sempat melawat mangsa kemalangan jalan raya di Jerangau-Jabor, Aishah Natasya Baharuddin, 5, yang sedang menjalani pemulihan di wad kebakaran HSNZ. Mangsa yang terbabit kemalangan pada tahun lepas terbakar teruk namun semakin pulih selepas menjalani beberapa rawatan susulan di HSNZ.

Menteri Besar melawat kedua-dua mangsa selepas meluangkan masa melawat Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh yang menghidap mini strok.

TEGANUKITA

berita penuh

10 January 2011

Terengganu Dapat Penarafan 5 Bintang

Oleh: Mohamad Shahrir dan Raja Faisal


Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Haji Che Rani Mohd dengan sijil pengiktirafan lima bintang sempena majlis penganugerahan “Government Portals & Website Assessment 2010”.

Portal Terengganu mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Multimedia Development Corporation (MDeC) di majlis penganugerahan Government Portals & Website Assessment 2010, pada 11 November 2010 di Dewan Ruby, One World Hotel, Genting Highlands.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN), Haji Che Rani Mohd yang mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), menerima anugerah prestij tersebut. Terengganu merupakan antara enam daripada 13 negeri di Malaysia yang mendapat anugerah berkenaan.


Majlis kali kedua itu menonjolkan nama Terengganu di bidang Information and Communication Technology (ICT) seiring dengan negeri lain di Malaysia. Pada majlis kali pertama yang diadakan pada 2009, Terengganu mendapat pengiktirafan empat bintang.

Haji Che Rani, berkata hasil usaha gigih semua pihak, terutama kakitangan kerajaan bagi memastikan negeri ini berkebolehan dalam semua aspek meletakkan Terengganu pada landasan terbaik untuk menerima anugerah lima bintang.

Antara negeri yang mendapat pengiktirafan lima bintang ialah Selangor, Kelantan, Sarawak, Melaka serta Johor. Pada majlis yang sama juga Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Daerah Marang (MDM), Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Majlis Daerah Setiu (MDS) turut mendapat anugerah dalam kategori masing-masing.

“ Lima kriteria utama dilihat iaitu Citizen Interaction, Citizen Insight, Citizen Services, Citizen Support dan Content Management daripada keseluruhan laman web atau portal oleh panel penilai dalam membuat penilaian bagi memastikan pihak yang berhak menerima anugerah tersebut,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi Negeri ketika ditemui hari ini (10 Januari).

Che Rani berharap lebih banyak peningkatan daripada agensi kerajaan pada tahun ini dalam memastikan Terengganu mampu mengekalkan anugerah yang diterima di samping menerima lebih banyak pengiktirafan daripada pihak berkuasa pada masa akan datang.

TEGANUKITA

berita penuh

09 January 2011

Pertandingan Idola antara Bandaraya

Oleh: Mohamad Shahrir Abdul Hamid

Bandaraya Kuala Terengganu merupakan antara dua belas Bandaraya yang terpilih untuk menyertai idola nyayian antara bandaraya yang akan berlangsung di Melaka pada 26 November 2011. Datuk Bandar Kuala Terengganu iaitu Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang mengesahkan acara tersebut pada Majlis Pelancaran Sistem OSC Online di Telekom Malaysia, Marang.

“ Penyertaan ini terbuka kepada seluruh warga bandaraya yang berminat dan boleh membuat pendaftaran pada 15 hingga 24 Januari ini dari jam 4 petang sehingga 12 malam di Kelab Eksklusif Batu Burok, Kuala Terengganu”. Katanya lagi.


Saringan akan diadakan sekiranya penyertaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga bandaraya. Peringkat saringan akan berlangsung di Batu Burok pada setiap petang Sabtu. Manakala peringkat akhir yang belum ditetapkan tarikhnya dijangka akan berlangsung di tempat yang akan diumumkan kelak.

Syarat penyertaan Pertandingan Idola Bandaraya ialah peserta mestilah warga bandaraya berumur 18 tahun ke atas kerana pertandingan ini merupakan pertandingan terbuka. Peserta yang berdaftar sahaja boleh menyertai pertandingan dengan membayar yuran penyertaan RM 15 setiap penyertaan.

“Hadiah pertandingan amat lumayan dan saya amat berharap bakat terpendam berjaya dicungkil dari Bandaraya Kuala Terengganu seterusnya memenangi pertandingan akhir di Melaka”. Jelasnya lagi ketika memberitahu media.

TEGANUKITA

berita penuh