Halaman

13 January 2012

Anugerah galak usahawan lebih daya saing

Oleh: Aida Abd Rahman

Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) dapat menggalak dan mendorong usahawan tempatan supaya membina kekuatan untuk lebih berdaya saing serta maju.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata AUT juga mampu merangsang minat rakyat negeri ini menjadikan usahawan sebagai pilihan kerjaya.

“Anugerah ini diadakan khusus bagi mengiktiraf dan menghargai peranan serta pencapaian usahawan dalam sektor masing-masing.

“Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mempelawa penyertaan agensi dan Badan Bukan Kerajaan dan juga syarikat IKS tempatan bagi menyertai Anugerah Usahawan Terengganu pada tahun akan datang sebagai mengiktiraf pencapaian usahawan tempatan dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap sempena Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Dato’ Mohamed Awang Tera melihat produk keluaran para usahawan yang dipamerkan di Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

AUT mula diadakan sejak 2002 mempertandingkan sembilan kategori termasuk dua kategori baru iaitu Anugerah Khas Media yang diperkenalkan pada 2010 dan Anugerah Khas Flagship YPU yang baru pertama kali dipertandingkan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui YPU sentiasa berusaha membawa usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa termasuk menyertai Gulfood Exhibition 2011 lalu bagi memperkenalkan produk makanan negeri ini di Dubai World Trade Centre.

“Hasil daripada penyertaan itu, sejumlah 120 pertanyaan perniagaan diterima melibatkan syarikat IKS Terengganu yang menyertai program itu.

“Pembeli berpotensi termasuklah dari UAE, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Switzland. Malah, tindakan susulan sudah dilaksanakan dengan kerjasama YPU, Pejabat
MATRADE di Dubai dan usahawan berkenaan,” katanya.

Beliau juga berharap supaya lebih ramai syarikat IKS menyertai mana-mana program di peringkat antarabangsa kelak berikutan banyak pengusaha IKS berpotensi untuk menempatkan produk mereka di luar negara.