Halaman

16 January 2012

Bangunan kediaman 30 tingkat dalam pembinaan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Negeri membina sebuah lagi blok kediaman setinggi 30 tingkat di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu bagi menempatkan sebahagian lagi penduduk yang belum memiliki kediaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja asas bagi membina kediaman itu telah bermula pada Disember tahun lalu.

“Blok kediaman setinggi 30 tingkat itu melibatkan 24 tingkat bagi kediaman dan enam tingkat lagi untuk tempat meletak kereta.

“Apabila siap kediaman yang bernilai kira-kira RM80 juta itu kelak, sebanyak 408 keluarga akan mendapat manfaat daripadanya ” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu bersama warga pentadbiran tanah negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, bangunan kediaman tersebut akan diberi keutaman kepada penduduk Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan juga Kampung Tanjung yang melibatkan penstrukturan semula bandar Kuala Terengganu.

“Ia akan dijual dengan harga yang bakal ditetapkan kelak,” katanya.

Ahmad berkata, mengikut perancangan, bangunan kediaman itu akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Sementara itu, pelan akhir sedang disiapkan bagi pembinaan bangunan Bandaraya Kuala Terengganu juga setinggi 30 tingkat di Muara Selatan, di Kampung Tanjung bersebelahan dengan Pasaraya Astaka yang juga dijangkakan dibina pada tahun ini juga.

“Setelah berpuas hati dengan pelan-pelan tersebut, ia akan mula dibina secepat yang mungkin,” katanya.