Halaman

27 January 2012

Dasar baru tanah haram dilaksana

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bakal melaksanakan dasar baru berkaitan pemilikan tanah haram setelah kesemua baki permohonan yang lama diselesaikan menjelang pertengahan bulan depan.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ia membolehkan isu berkenaan tanah haram dapat diuruskan dengan lebih sistematik dan mengelak gejala itu daripada berterusan.

Katanya, sejak tempoh tiga tahun lalu, sebanyak 9,916 kes permohonan haram telah berjaya diselesaikan dengan pencapaian 99.28 peratus.

“Hanya tinggal 18 kes permohonan yang dalam proses penyelesaian. Selepas itu tiada lagi permohonan baru akan diproses.

“ Apabila semua kes ini selesai, kerajaan negeri akan melaksanakan dasar baru yang saya akan maklumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Mengulas lanjut Dato' Seri Ahmad berkata, mengikut pecahan daerah, sebanyak 973 tanah haram di Besut berjaya diselesaikan sementara di Dungun sebanyak 540, Hulu Terengganu (2,794), Kemaman (959), Kuala Terengganu (1,167), Marang (504) dan Setiu, 2,979 kes.

Tambahnya, tahap penyelesaian itu menunjukkan prestasi yang amat baik iaitu semua daerah memberikan komitmen bagi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Dato' Seri Ahmad turut memaklumkan mulai tahun ini, pihaknya akan memastikan tiada lagi penerokaan secara haram dilakukan.

Katanya, jika mendapat maklumat tentang pencerobohan di kawasan baru, pihak berwajib akan mengadakan serbuan dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ataupun lebih mudah akses sahaja ke laman sesawang Google.

“Ia bagi memastikan apa status tanah yang mahu diteroka agar tidak timbul lagi soal tidak tahu mengenai status berkenaan,” tegasnya.