Halaman

19 January 2012

Exxonmobil bantu baiki sosio ekonomi rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka, Exxonmobil memberi jaminan akan terus mengukuhkan jaringan sosial bagi membantu membela nasib dan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini terutama golongan yang berpendapatan rendah.

Penolong Pengurus Pengeluaran Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata antara program yang dilaksanakan pada tahun ini adalah meningkatkan kemudahan peralatan perubatan di Hospital Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun.

“Pada masa yang sama, Exonmobil akan membantu menjayakan program `Sekolah Dalam Hospital’ di Kuala Terengganu dan Kemaman.

“Malah, kita turut menyokong dan membantu Yayasan DiRaja menerusi program latihan keusahawanan bagi meningkatkan sosio ekonomi golongan ibu tunggal dan wanita sekaligus membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya di majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, kelmarin (16 Januari).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri,To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Mr J Hunter berkata, pihaknya juga komited bagi membantu menjayakan program untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih.

Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), mereka juga mengenalpasti pelajar yang cemerlang dalam akademik serta kokurikulum untuk dipilih bagi menerima `Anugerah Pelajar Cemerlang Exxonmobil’.
“Pada malam ini, seramai 25 guru dipilih JPNT bagi menerima Anugerah Guru Unggul Exxonmobil 2011. Saya mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada semua pemenang kerana dedikasi terhadap profesion, sekolah serta pelajar mereka,” katanya.

Seramai 25 guru melibatkan 16 guru wanita dan selebihnya guru lelaki daripada 24 sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu terpilih selepas menjalani saringan dan proses temuduga daripada 100 permohonan awal.

Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada setiap pemenang yang berupakan wang tunai RM1,500, sijil dan plak.