Halaman

02 January 2012

Giliran Zamri rebut slot ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Satu lagi rekod dicipta anak Terengganu dalam lapangan sukan berbasikal. Jika sebelum ini, adiknya, Mohd Harrif Salleh sudah menghasilkan pelbagai kejayaan sama ada di dalam dan luar negara, kini giliran Mohd Zamri pula untuk turut sama melakar kegemilangan itu.

Terkini, Mohd Zamri yang bakal menyarung jersi Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk perlumbaan musim ini berjaya merebut slot untuk beraksi dalam skuad lebuhraya kebangsaan pada Sukan Olimpik London Ogos ini selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Sirkit Grand Prix Kebangsaan 2011 (GP Grand Finale 2011) yang berakhir di Dataran Tanjung Emas, Muar pada Sabtu lalu.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) menetapkan juara keseluruhan GP Finale sebanyak tujuh pusingan melibatkan GP Kelantan, GP Kuala Lumpur, GP Melaka, GP Pahang, GP Perlis, GP Negeri Sembilan dan GP Johor akan dipertimbangkan untuk berlatih dan merebut dua slot ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Malaysia sudah mengesahkan penyertaan pada acara lebuhraya pada Sukan Olimpik di London Ogos nanti dan MNCF dijangka menamakan dua atlet lebuh raya negara yang layak beraksi ke temasya sukan terbesar dunia itu pada Mei depan.

Presiden MNCF Abu Samah Abdul Wahab dalam kenyataan berkata, Mohd Zamri meraih 49 mata selepas mengharungi tujuh kejohanan GP Kebangsaan termasuk dua kali menaiki podium pada GP Kelantan dan GP Melaka.

Pemenang pingat gangsa Sukan Sea 2009 di Laos itu berjaya mengesahkan kejuaraannya sekalipun hanya menduduki tempat kelapan pada perlumbaan sejauh 174.10 kilometer itu setelah pesaing terdekat Mohd Nor Umardi Rosdi hanya meraih posisi ke-11.

Mohd Nor Umardi dan Mohammad Saufi Mat Senan, kedua-duanya dari TSG selepas masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga keseluruhan untuk berkongsi 44 mata, kata Abu Samah.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dengan catatan masa 4 jam 25 minit 42.112 saat sambil diekori pelatih kebangsaan, Mohd Zulhilmi Afif yang ketinggalan 1.371s di belakang.

Kejayaan terbaru itu jelas menaikkan semangat Mohd Zamri untuk menagih slot berlumba di Sukan Olimpik 2012 nanti rentetan kejayaan muncul juara keseluruhan GP Kebangsaan.

"Saya mahu menyarung jersi Malaysia pada Sukan Olimpik nanti. Saya rasa prestasi saya sangat konsisten dan cemerlang pada masa ini. Saya rasa akan lebih mantap apabila saya mula berlatih dan berlumba bersama rakan sepasukan dalam TSG," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang pernah mengalami kemerosotan prestasi pada 2010 berkata beliau giat berlatih bersendirian di Terengganu untuk kembali mendapatkan prestasi dan menyerlah di peringkat kebangsaan.

"Rasanya saya tiada masalah untuk bergandingan dengan rakan pelumba TSG kerana kelebihan utama kami ialah kami berkomunikasi dalam bahasa (dialek) yang sama iaitu bahasa Terengganu. Rasanya inilah yang akan menaikkan semangat saya untuk lebih berjaya pada musim 2012," katanya.