Halaman

15 January 2012

Insentif suntik moral kekal kejayaan- atlet OKU

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya mahu bantu keluarga dengan wang insentif ini. Malah, apa yang saya dapat menaikkan moral dan semangat saya untuk terus mencipta kejayaan,” kata atlet olahraga Orang Kelainan Upaya (OKU, Mohammad Azlan Mat Lazin, 21, selepas meraih ganjaran tertinggi berjumlah RM11,500 daripada kerajaan negeri sempena Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan SEA dan Para Asean, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.
Selain Mohammad Azlan, 10 lagi atlet OKU turut menerima imbuhan yang kesemuanya berjumlah RM49,000 di Sukan Para Asean Solo, Indonesia lalu, manakala seramai 29 atlet yang berjaya di temasya Sukan SEA Indonesia 2011 pula menerima ganjaran RM85,500.

Mohammad Azlan yang turut diumumkan atlet terbaik bagi ketagori T36 (sepastik) berkata, pengorbanan tenaga dan masa demi meraih kejayaan dalam sukan yang disertainya berbaloi apabila berjaya dalam kesemua acara dengan memungut empat pingat masing-masing dua emas bagi kategori 4X100 dan 100 meter, perak (lompat jauh) dan gangsa bagi acara 200 meter.

“Pastinya saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebab menghadiahkan ganjaran ini,” katanya.

Turut berkongsi kegembiraan itu rakannya, Hisam Che Soh, 31, yang memenangi emas bagi acara lontar peluru dan menerima imbuhan RM4,000 dalam majlis itu.

“Kami memang tidak sempurna dan usaha kami perlu lebih gigih berbanding atlet normal yang lain untuk mencapai setiap sasaran. Apabila mendapat pengiktirafan atas kejayaan ini, pastinya saya dan rakan-rakan senasib amat terharu serta menaikkan semangat kami untuk terus menempa kejayaan pada masa depan,” katanya.

Bagi atlet pencak silat wanita negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir pula, penghargaan yang tidak pernah putus daripada kerajaan negeri menjadi batu loncatan untuknya dan rakan terutama dalam sukan mempertahankan diri untuk terus melakar kejayaan dan memperbaiki prestasi semasa.

“Pengiktirafan kerajaan negeri amat saya hargai. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan dan mengekalkannya. Namun berkat dorongan semua pihak kami yakin mampu melakukan yang terbaik demi negeri dan negara yang disayangi,” katanya yang memenangi perak bagi kategori silat olahraga E dalam temasya Sukan Sea lalu.