Halaman

05 January 2012

IQ Terengganu naik taraf Kolej Universiti 2015

Oleh FAUZI MOHD



Institut al-Quran Terengganu (IQ) merancang untuk menaiktaraf kedudukan mereka sebagai sebuah kolej atau kolej universiti menjelang 2015.

Sehubungan itu, bagi memenuhi kriteria berkenaan, pihak IQ telah merangka pelan jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan dan kursus pengajian di institusi milik Kerajaan negeri itu.

Pegarahnya, Dr. Ahmad Bazli Shafie berkata, IQ mampu menjadi sebuah pusat pengajian al-Quran yang berwibawa berdasarkan kemampuannya mengeluarkan lebih 1,000 sijil tahfiz kepada penuntutnya sejak diasaskan pada 1984.

Menurutnya, institusi itu kini menawarkan dua program iaitu Sijil Tahfiz Wal Qiraat serta Diploma Tahfiz Wal Qiraat dengan penuntut seramai 246 orang serta kuliah al-Furqan untuk masyarakat umum pelbagai peringkat umur.

“Kami bercadang untuk menambah tiga lagi program peringkat diploma iaitu Diploma al-Quran dan Qiraat, Diploma al-Quran dan Hadis serta Diploma al-Quran dan Bahasa al-Quran.

“Serentak dengan itu, sebuah asrama baru telah diluluskan pembinaannya oleh Kerajaan Terengganu yang mampu menampung sehingga 500 pelajar,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bual Bicara Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah bersama warga IQ Terengganu di institusi itu di Padang Midin, Kuala Terengganu hari ini.