Halaman

20 January 2012

Jangan buat spekulasi calon PRU 13 - Ahmad Said

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Ahmad Said meminta pihak-pihak tertentu tidak membuat spekulasi berhubung siapa yang bakal dicalonkan atau digugurkan pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang.



Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu meminta pihak terbabit bertenang kerana tiada sebarang arahan daripada pucuk pimpinan parti supaya menyerahkan nama-nama calon Barisan Nasional kepada Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Pelbagai cerita tersebar melalui khabar angin, kedai kopi, SMS (sistem pesanan ringkas) dan sebagainya berhubung calon-calon yang bertanding serta calon-calon yang digugurkan. Spekulasi itu bohong belaka.

"Buat masa ini saya minta semua pihak bertenang kerana ini akan mencetuskan persaingan tidak sihat. Saya baru saja bermesyuarat bersama Dato' Seri Najib (Presiden UMNO) dan isu calon langsung tidak disentuh," katanya.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang sebentar tadi.

Kata Dato' Seri Ahmad, perkara itu akan dipanjangkan kepada semua UMNO Bahagian secara bertulis apabila mendapat isyarat daripada Presiden parti berhubung penyenaraian cadangan calon PRU ke-13 kelak.

"Proses seperti biasa dimana UMNO Bahagian akan menyenaraikan cadangan calon masing-masing untuk dihantar kepada Perdana Menteri," jelasnya.