Halaman

11 January 2012

Karnival Hijrah diperluas ke negeri lain

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Karnival Hijrah yang diadakan di Terengganu akhir tahun lalu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain, berikutan sambutan di luar dugaan terhadap program tersebut yang julung kali diadakan di negara ini.

Pengurus Komunikasi Korporat TV-Al Hijrah Media Corporation, Norisah Sulaiman, berkata pihaknya kini menunggu dana daripada kementerian bagi membolehkan karnival itu diteruskan ke negeri ini lain pada tahun ini.

“Pihak kementerian bersetuju pada dasarnya bagi meneruskan program ini supaya lebih ramai penduduk negara ini berpeluang mengenali lebih dekat program TV-Al Hijrah dan jabatan-jabatan yang terlibat dengan karnival tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika member taklimat mengenai TV Al-Hijrah kepada rombongan daripada Unit Komunikasi Negeri Terengganu yang mengadakan lawatan ke stesen televisyen berkenaan di Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini.



Rombongan 10 pegawai dan kakitangan Ukom itu diketuai Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong.

Norisah merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Ukom yang turut terlibat dalam menganjurkan Karnival Hijrah bagi mendedahkan program jabatan-jabatan kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada orang ramai.



Beliau berkata, pihaknya tidak keberatan untuk mengadakan lebih banyak program dan rancangan terbitan TV- Al Hijrah di Terengganu selepas ini memandangkan hubungan erat sudah terjalin antara kedua-kedua pihak.