Halaman

15 January 2012

Keharmonian kaum perlu dikekalkan MB

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad dan Idris bergambar kenangan bersama Jawatankuasa MCA Besut


Kemesraan dan semangat kerjasama antara penduduk pelbagai kaum negeri ini yang menjadi teras kepada perpaduan perlu dikekalkan bagi mempastikan negeri ini dapat dibangunkan dengan baik dan sempurna.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, contoh perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina dan Siam seperti yang diamalkan di Besut membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah.

Katanya, keadaan ini yang jarang berlaku di tempat lain memberikan kekuatan kepada BN untuk terus kekal mentadbir negeri ini berasaskan sokongan masyarakat pelbagai kaum kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Oleh itu kerajaan berharap semua masyarakat Cina dan Siam di Besut walaupun bilangannya kecil tetapi undi mereka untuk BN adalah penting,” katanya pada majlis Malam Mesra Rakyat anjuran MCA Bahagian Besut di Dewan MDB Gong Kemuntong,dekat Jertih,malam tadi.

Kira-kira 500 ahli MCA bahagian itu menghadiri majlis yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalanya, Nawi Mohamad, Naib Ketua,Muhammad Pehimi Yusof, Bendahari,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar, Yang Diprtua Majlis Daerah Besut, Ibrahim Mohamad dan Ketua Polis Daerah,Superentendan Kamaruddin Zakaria.

Ketika ini, ada 800 pengundi Cina dan Siam yang berdaftar layak mengundi di kawasan Parlimen Besut pada pilihanraya umum tidak lama lagi.

Mengenai pelbagai permintaan kaum Cina daerah Besut,Menteri Besar berkata, beliau akan mempastikan setiap permohonan mereka termasuk permintaan pembinaan dewan akan dipertimbangkan dan perlu mengikut proses biasa.

“Sehingga ini sudah banyak permintaan mereka sudah diluluskan dan sebahagian masih dalam pertimbangan manakala ada juga yang terpaksa ditolak,” katanya.