Halaman

28 January 2012

Konvoi Biru Nelang perkukuhkan jentera Pemuda, Puteri Terengganu

Oleh FAUZI MOHD



Konvoi Biru Nelang yang menjelajah ke seluruh Terengganu bakal memperkukuhkan barisan jentera kempen Pemuda dan Puteri UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin berkata, konvoi yang disertai lebih 50 kereta dan pacuan empat roda itu akan bergerak ke seluruh Parlimen di Terengganu di mana Marang, Dungun dan Kemaman menjadi destinasi konvoi pertama.

Katanya, konvoi itu bagi menterjemahkan semangan Biru Nelang di mana kepimpinan orang muda yang berani, boleh berhadapan dengan pelbagai cabaran serta pemimpin serba boleh bagi menjadikan Barisan Nasional (BN) pilihan orang muda.



"Selepas singgah di Marang dan bermalam di Dungun, konvoi diteruskan ke Kemaman untuk bersama jentera Pemuda dan Puteri di bahagian berkenaan.

"Sepanjang program, kita adakan diskusi, ceramah tertutup dan lawatan ke bilik gerakan pilihan raya Pemuda dan Puteri," katanya pada perlancaran konvoi itu semalam.



Konvoi itu dilancarkan Setiausaha UMNO Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang di perkarangan Bangunan UMNO negeri di Kuala Terengganu. Turut serta, Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie.