Halaman

02 January 2012

Mangsa banjir beransur pulang

Oleh; Esah Abdullah

Mangsa perpindahan banjir di dua daerah di negeri ini hanya tinggal 151 orang daripada 40 keluarga di tujuh pusat perpindahan berbanding 753 orang (179 keluarga) di sembilan pusat perpindahan semalam.

Sehingga jam 12 tengahari ini, terdapat 128 orang (34 keluarga) mangsa masih berada di pusat perpindahan di daerah Setiu dan 29 orang (6 keluarga) di daerah Besut.

Sumber dari bilik kenyataan banjir negeri mencatatkan beberapa pusat perpindahan banjir di daerah Besut telah ditutup sepenuhnya iaitu Dewan Serbaguna Kampung Apal ,Balai Raya Kampung Cabang 3 Oh, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Perpindahan Dalam Tasek Renek dan Surau Asrama Perkaya Besut.

Namun begitu terdapat dua pusat baru dibuka iaitu Surau Kayu Kelat (2 orang) dan Balai Serbaguna Kampung Pengkalan Kubur (17 orang) di samping mangsa SK Bukit Tempurung telah berkurang kepada empat orang daripada tiga keluarga berbanding semalam (29 orang).

Manakala di Setiu sebuah pusat perpindahan baru dibuka iaitu di Dewan Sivik Desa Jaya dengan 14 mangsa daripada lima keluarga disamping dua pusat semalam iaitu SK Kampung Besut (39 orang) dan Masjid Guntung Luar (73 orang).