Halaman

13 January 2012

MB minta pertadbir tanah lebih proaktif

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengakui pengurusan pertadbiran tanah kini berhadapan dengan pelbagai cabaran besar bagi menangani perubahan persekitaran yang memberi kesan langsung kepada prestasi perkhidmatan yang disampaikan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perubahan itu menuntut pegawai yang terlibat di setiap pertadbiran tanah mampu bertindak secara lebih proaktif bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berprestasi tinggi lebih cemerlang.

Katanya, strategik penting yang harus diberi fokus dalam agenda tranformasi sektor awam ialah memperkasakan agensi barisan hadapan.


“Ini kerana peranan penting yang dimainkan oleh agensi tersebut dilihat begitu kritikal bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Perubahan persekitaran dinamik turut menyaksikan pentakrifan baru di buat kepada konsep prestasi agensi sektor awam di mana ia dinilai melalui pencapaian keberhasilan impak,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Warga Pertadbiran Tanah Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Pengarah PTG, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dalam kontek itu, penjawat awam di setiap peringkat agensi `frontliner’ perlu sentiasa peka dengan kehendak rakyat dan bersedia terhadap gelombang perubahan dalam sektor awam.

“Dalam banyak keadaan kita masih lagi perlu membuat pembaharuan kerana banyak proses kerja serta tatacara lama yang lapuk sifatnya.

“Sedang proses serta tatacara tersebut masih boleh dicipta selagi mana tidak melanggar peraturan dan peruntukan undang-undang,” katanya.