Halaman

08 January 2012

MUNGKINKAH YB DR HASSAN ALI MENYERTAI UMNO YANG PERNAH DITENTANGNYA?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.


Sememangnya telah dijangkakan YB Dato’ Dr Hassan Ali yang terus memperjuangkan negara Islam dipecat dari Pas kerana perjuangan itu bukan lagi matlamat Pas sekarang.

Pas yang dipimpin Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkongsi dengan pimpinan Dap yang jelas anti Islam telah menukarkan untuk menegakkan negara Islam kepada negara kebajikan sahaja dengan membuat dakwaan baru bahawa perjuangan negara Islam tidak ada dalam Al-Quran. (kalau pemimpin Umno membuat kenyataan seperti ini sudah pasti akan dikafirkan!)

Dr.Hassan Ali akhirnya terkorban kerana masih berpegang kepada prinsip lama Pas.

Kadang-kadang kita merasakan pelik bagaimana Pas dan para pemimpinnya boleh berpusing arah sebegitu sekali, tetapi dalam dunia politik segalanya sanggup digadaikan hatta perjuangan asal dan Islam itu sendiri.

Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS,"

Dato’ Dr Hassan sendiri pernah menyatakan dia rela dipecat demi mempertahankan kebenaran perjuangannya untuk agama, bangsa Melayu dan Raja-Raja.

Namun mungkin Dr.Hassan percaya ia berada di pihak yang benar dalam memperjuangkan Islam yang tulen berbanding pimpinan utama Pas sekarang yang sudah jauh melangkah meninggalkan pengkalan perjuangan yang sebenar.

Sebenarnya apa yang terjadi kepada Dr.Hassan Ali adalah antara pengajaran demi pengajaran kepada sesiapa yang hendak perjuangkan Islam, Pas bukanlah jalan terbaik.

Kebanyakan mereka yang berada di dalam Pas begitu hebat menghentam Umno seperti sebelum ini Ustaz Nakhie Ahmad dan lain-lain kini telah menyedari Umno yang terbaik bukannya Pas.

Begitulah juga kata bekas Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas, Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang menyatakan untuk memperjuangkan Islam tidak semestinya melalui parti tertentu, sudah tentu maksudnya Pas kerana beliau kini disingkirkan dari arus perdana kepimpinan Pas hanya kerana tewas kepada seorang yang bernama Mohamad Sabu yang sudah dikenali akal dan akhlaknya.

Sudah pasti Dr.Hassan bakal digugurkan dari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menyusul pemecatannya dari Pas.

Kita tidak tahu ke mana Dr.Hassan Ali dan Nasaruddin selepas ini….mungkinkah akan bersama Umno. Biarpun akan dituduh menjilat ludah sendiri, tetapi yakinlah hanya Umno landasan perjuangan yang baik untuk kedaulatan dan kesucian Islam.