Halaman

19 January 2012

Penerangan Bajet 2012 untuk Zon Tengah, 26 Januari

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menganjurkan Penerangan Bajet 2012 bagi Zon Tengah yang bertempat di Stadium Negeri, pada 26 Januari ini (Khamis) jam 10 pagi.

Program anjuran Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, Pejabat Kewangan Negeri serta Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) itu bertujuan memberi gambaran sebenar mengenai Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu.

Jurucakap program, susulan Diskusi Bajet 2012 yang diadakan pada 10 Januari lalu mendapat sambutan baik, pihaknya berhasrat meneruskan program itu dan mensasarkan semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Zon Tengah dapat menyertai program berkenaan.

Selain JKKK, semua pemimpin masyarakat dan politik disaran supaya meluangkan masa menyertai program itu supaya mendapat input daripada penerangan itu nanti.

Katanya, pihak penganjur menjemput semua pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap, ketua dan setiausaha cawangan dalam semua parlimen di Zon Tengah menghadiri program itu nanti.

“Selain menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan Bajet 2012 kita juga mahu supaya mereka sedar dan faham segala perbelanjaan kerajaan yang menggunakan pendekatan pembangunan berkonsepkan `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

“Jangan lepaskan peluang menyertai penerangan bajet yang akan mengupas lebih jelas dan terperinci kepentingan bajet yang berteraskan kesejahteraan rakyat ini,” katanya.