Halaman

08 January 2012

Perhiasan ‘Naga Bertuah Menyambut Musim Bunga’ sempena Sambutan Tahun Baru Cina

Oleh FAUZI MOHD

Perayaan ‘Sambutan Tahun Baru Cina 2012’ bakal diadakan bermula 13 hingga 21 Januari ini bertempat di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

ADUN Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, pelbagai acara diatur sepanjang sambutan itu, termasuklah pertandingan wajib iaitu perhiasan dan keceriaan rumah kedai.

Menurutnya, program anjuran MCA Bahagian Kuala Terengganu itu dengan kerjasama Koperasi Kampung Cina.

“Tahun lalu, kita menerima lebih 40 penyertaan daripada pelbagai kategori termasuk penyertaan kaum lain dan pada tahu ini ia dijangka meningkat.

“Johan pertandingan akan membawa pulang RM3,888, RM2,888 untuk naib johan dan tempat ketiga akan menerima RM1,888. Selain itu, turut disediakan 10 hadiah saguhati dan imbuhan untuk tujuh kategori penyertaan terbaik,” katanya semalam.

Mengulas lanjut katanya, pertandingan itu bagi memaparkan kreativiti komuniti dan mempromosikan keunikan arkitek bangunan di Kampung Cina, tradisi, kebudayaan dan suasana perayaan.

Kata Dato’ Chin Yaw, pertandingan perhiasan bertemakan ‘Naga Bertuah Menyambut Musim Bunga’ tutup penyertaan pada 15 Januari ini.