Halaman

31 January 2012

PPAT cipta alat pengesan rak buku

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mencipta alat pengesan rak buku nyata mengembirakan pengguna kerana dapat mencari buku yang mereka kehendaki dalam tempoh 30 saa,t berbanding 10 minit sebelum ini.

Pengarah PPAT Puan Nor Akmal Abdul Fatah, berkata bagi menggunakan alat itu, pengguna hanya perlu menaip tajuk buku dikehendaki pada komputer yang disediakan di perpustakaan sebelum maklumat mengenai kedudukan buku itu dipaparkan dan secara automatik lampu di rak buku terbabit menyala.

“Kita mula gunan alat pengesan rak buku tersebut awal tahun lepas dan ia mendapat maklum balas yang amat menggalakkan daripada pengguna, bahkan terdapat juga permintaan dari perpustakaan luar Terengganu untuk berkongsi idea.

“PPAT sememangnya bersedia untuk mempromosi apa yang dilaksanakan ini kepada pihak luar, tetapi selepas menyedari banyak aspek perlu ditambah nilai, ia terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Puan Nor Akmal berkata, alat pengesan rak buku pertama seumpamanya itu adalah hasil ciptaan petugas PPAT sendiri yang mahu melihat pembaharuan dalam kualiti perkhidmatan demi kemudahan pengguna.

“Pengunaan alat itu juga menjadikan buku-buku di rak lebih tersusun rapi, kemas dan berada dalam susunan lebih sistematik dan PPAT bercadang menyelaraskan penggunaannya di seluruh perpustakaan daerah di Terengganu,” katanya.

Nor Akmal berkata, alat pengesan rak buku ini telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S pada 27 Jun lalu dan Anugerah Khas Juri MPC Utara iaitu kategori Kumpulan Paling Kreatif sempena Konvensyen ICC Perpustakaan Se-Malaysia kali ketiga pada 11 Jun tahun lalu.