Halaman

24 January 2012

PRU 13 – Wanita UMNO tidak akan terpekik, terlolong

Oleh FAUZI MOHD

Pergerakan Wanita UMNO, khususnya Wanita Dungun tidak akan terpekik dan terlolong dalam memujuk rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.



Dengan menyifatkan PRU kali ini agak luar biasa, Ketua Wanita UMNO Dungun, Zainun Abu Bakar berkata, pergerakan itu tidak mudah melatah seperti sebahagian sayap wanita parti lawan yang dilihat sudah tersasar dari sifat keibuan.

Tanpa banyak kerenah dan polimik kepartian katanya, tulang belakang parti itu merupakan jentera yang paling berkesan dalam membawa mesej parti pada PRU melalui pendekatan yang mesra dan disenangi pengundi.

“Walaupun ada kumpulan wanita parti lawan terpekik, terlolong sehingga ada yang menghamburkan perkataan ‘UMNO mampus’, kita jangan melatah walaupun kita dicemuh dan dihina sedemikian rupa.

“Kami tidak akan mengikut rentak mereka yang kami rasa sudah tergolong dalam ‘kumpulan rimba’. Kami wanita akan jaga nama baik UMNO dengan membawa mesej parti untuk kebaikan rakyat,” katanya yang disambut tepukan gemuruh.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Ramah Mesra Wanita UMNO Dungun bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di Padang Merdeka di sini petang semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Wira Rosli Mat Hassan dan Timbalannya, Datuk Zaabar Mohd. Adib serta Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Matulidi Jusoh.

Tambah Zainun, tiada pihak yang boleh mempertikaikan keupayaan Wanita UMNO sebagai tunjang parti kerana pergerakan itu tidak gah dengan namanya tetapi berkesan dalam gerak kerja membantu parti dalam PRU.

Sementara itu, Dato' Seri Ahmad memberitahu, isyarat bermulanya PRU ke-13 yang diberikan Perdana Menteri sudah semakin hampir dan meminta semua jentera parti di pelbagai peringkat bersiap sedia untuk turun ke ‘medan perang’.



Di peringkat perhubungan UMNO negeri katanya, persiapan sudah berjalan dengan lancar antaranya siri pertemuan beliau dengan semua jentera Wanita UMNO bahagian yang sedang berjalan dan diikuti pertermuan bersama Pemuda serta Puteri selepas ini.

“UMNO negeri turut anjurkan pertandingan peti undi yang melibatkan semua 343 peti undi seluruh negeri yang antara lainya membuat bancian sikap terhadap 603,641 pengundi berdaftar di Terengganu sehingga kini.

“Begitu juga bancian sikap dan profil kira-kira 69,000 pengundi luar telah disiapkan. Kita ada semua maklumat pengundi luar seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal, alamat semasa dan pekerjaan,” katanya.




Untuk pergerakan wanita kata Menteri Besar itu, sebanyak 10,000 kaki payung berwarna biru dengan logo Barisan Nasional sedang diagihkan kepada golongan itu di seluruh negeri bagi menaikkan lagi semangat juang jentera berkenaan.



Video PRU13-Wanita UMNO Tidak Akan Terpekik,Terlolong