Halaman

29 January 2012

Rangka program untuk tarik pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program tahunan semata-mata ingin menarik minat orang ramai mengunjungi muzium sepanjang tahun ini.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata, pendekatan sama yang dilaksanakan sebelum ini berjaya menarik ratusan ribu pengunjung.

Katanya, antara program yang dirancang, termasuk Rampai Budaya ; Pertandingan Mewarna Warisan Kita; Syarahan & Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu; Pameran Khazanah Islam Dari China; Seminar & Pameran Nostalgia Kg. China; Pameran Kehebatan Terengganu dan Seminar Satu Abad Undang-Undang.

“Program lain, Pertandingan Lukisan Citra Terengganu; Lumba Jelajah Muzium Pameran Khazanah Pantai Timur dan Himpunan Alunan Muzik Tradisional,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Menurutnya, pendekatan pihaknya menganjurkan pelbagai program tahunan nyata memberi impak positif apabila mendapat peningkatan bilangan pengunjung pada setiap tahun.

“Pada tahun lalu, LMNT mencatatkan seramai 169,370 pelawat yang sudi datang melihat pelbagai khazanah dan artifak berharga yang diadakan di tempat kami,” katanya.