Halaman

23 January 2012

RISDA tingkat pendapatan petani

Oleh: Mastura Jamaluddin

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju demi meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya pekebun kecil, RISDA melaksanakan satu program khusus melalui gerakan membaja bagi meningkatkan produktiviti hasil mereka.

“RISDA telah membantu semua pekebun kecil termasuk yang terlibat dalam program tanam semula dengan hanya satu tujuan iaitu meningkatkan pendapatan mereka dari setahun ke setahun melalui teknologi dan sistem pengurusan terkini.

“Oleh sebab itu,mereka yang terlibat ini perlu membuka mata dan minda mereka untuk bekerjasama dalam mengikuti amalan pengurusan system baru bagi menguruskan kebun mereka.

“Pekebun-pekebun kecil perlulah meninggalkan amalan pertanian lama supaya hasil pengeluaran dapat dipertingkatkan lagi, ”kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Telemong berkata demikian pada Majlis Penyampaian Kelulusan Sementara Bantuan Tanam Semula Dan Perlaksanaan ‘Good Acriculture Practises’(GAP), di Kampung Teris baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut menasihatkan semua pekebun-pekebun kecil supaya bersyukur dengan kerajaan yang ada sekarang dan memastikan kerajaan ini akan kekal memerintah demi meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Pejabat FELCRA Kuala Jeneris,Kampung Teris turut di hadiri Pengarah Risda negeri, Haji Zakaria Mat Zin dan pekebun kecil di daerah Hulu Terengganu.