Halaman

05 January 2012

Sedia RM1 juta setahun untuk hidupkan konsep 1Kampung 1Koperasi

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta setahun dalam usaha membantu 491 masjid di seluruh Terengganu menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata pihaknya menyasarkan menubuhkan 100 koperasi setiap tahun menerusi konsep 1Kampung 1Koperasi sebagaimana yang diuar-uarkan kepada masyarakat sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan dalam bentuk geran sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada setiap masjid sekiranya berjaya menubuhkan koperasi dengan syarat tertentu,

“Melalui bantuan ini sedikit sebanyak mampu menampung kos pentadbiran seperti bayaran pengurusan, beli peralatan pejabat, pembayaran bil utiliti dan sebagainya sebagai permulaan untuk mengerakkan sesebuah koperasi.

“Selain itu, kita turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam menyediakan pinjaman kepada koperasi sehingga RM10 juta untuk dijadikan modal jika mempunyai projek yang hendak diusahakan,” katanya.

Dato’ Mohamed turutr memberitahu, kerajaan negeri melihat institusi masjid berpotensi tinggi dalam usaha mewujudkan koperasi seterusnya mampu meningkatkan ekonomi di sesuatu kariah sebagaimana di Makkah.

Katanya, dengan adanya koperasi di setiap masjid, ia boleh menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh kariah di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak dan modal untuk menggerakkan koperasi datangnya daripada sumbangan ahli.

“Kita tidak mahu mereka (kariah) ambil duit masjid untuk dijadikan modal, sebaliknya sumbangan daripada ahli koperasi itu sendiri,” katanya.