Halaman

01 January 2012

SOROTAN 2011

Oleh FAUZI MOHD

Tahun 2011 menyaksikan Terengganu terus mengukir pelbagai kejayaan baru dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, pelancongan dan sukan. Dalam tempoh itu juga pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis menjadi titik-titik penting perjalanan kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said yang mengemudi Kerajaan Terengganu. Lonjakan nama anak Terengganu yang melakar kemasyhuran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa menjadikan negeri ini tumpuan segenap masyarakat. Berikut antara peristiwa yang mewarnai Terengganu sepanjang 2011.



25 Januari – ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman dilantik Ketua Penerangan UMNO negeri dan ADUN Rantau Abang, Datuk Zaabar Mohd. Adib dilantik Bendahari.

31 Januari - Jurutera perunding, Wan Manan Wan Ali, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 2 Jun 2009.

3 Februari - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid tiba untuk lawatan tiga hari di Terengganu.

5 Februari - Sistem parkir automatik bertingkat mengaplikasikan kaedah rotary type yang pertama di Malaysia mula beroperasi di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu. Menggunakan teknologi dari Guangzhou, China, ia menelan kos RM9.8 juta dan mampu menampung 232 unit kenderaan.

12 Februari – Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktaraf Hospital Kemaman yang diumumkan Menterinya, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dalam lawatan kerja ke hospital berkenaan.

21 Februari – Terengganu diumumkan terus cemerlang dalam peperiksaan STPM 2010 apabila 22 daripada 52 sekolah catatkan kelulusan 100 peratus berbanding 13 sekolah tahun 2009.

2 Mac – Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penerbangan balik 621 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir akibat pergolakan negara Timur Tengah itu.

10 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar memaklumkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi pusat pengesahan Amphetamine Type Simulant (ATS) pertama di Pantai Timur dan kedua di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur.

12 Mac – Kerajaan Terengganu dan Persatuan Seni Khat Malaysia menganjurkan Pertandingan Seni Khat Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam yang disertai 300 peserta.

18 Mac - Terengganu mencipta sejarah menjadi negeri pertama di Malaysia melakukan penerbangan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, KualaTerengganu ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi membawa 451 jemaah.

21 Mac - Kemangkatan bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisahmuddin Alam Shah pada usia 78 tahun di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor. Jenazah disemadikan di Makam Diraja Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang. Menteri Besar mengumumkan perintah berkabung 40 hari mulai 21 Mac hingga 29 April.

23 Mac - Terengganu terus melakar kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 apabila gred purata negeri mencapai 5.03 berbanding 5.17 tahun 2009. Bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) juga menunjukkan peningkatan ketara daripada lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pada 2010.

23 Mac - Genaplah tiga tahun Dato’ Seri Ahmad Said menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang berlandaskan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

10 April - Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail berkenan berangkat mengisytiharkan pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail , Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

25 April - Pulau Bidong mula memperolehi capaian internet apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbelanja RM80,000 untuk tujuan itu bagi kemudahan pelancong dan penyelidik, kata Naib Canselor UMT Prof Dato’ Dr. Aziz Deraman.

30 April – Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengadakan lawatan sehari ke Terengganu sempena Program Turun Padang (PTP). Perdana Menteri melawat Pekan Batu Enam, Kampung Pengkalan Arang, Pasar Bukit Tunggal, Pulau Bahagia, Pulau Duyong dan berakhir di Dataran Shahbandar.

2 Mei - Pelumba keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan atlit berbasikal negara, Fatehah Mustafa masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu.

6 Mei – Tasik Kenyir menjadi tumpuan hampir 20,000 pengunjung dalam program tiga hari, Festival Kenyir yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-38 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

10 Mei - Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak yang melibatkan 16 peserta iaitu lapan qari dan lapan qariah.

14 Mei – Dato’ Seri Ahmad Said bertemu rakyat dalam program Sehari Bersama Menteri Besar di DUN Batu Buruk.

24 Mei – Buku Pelan Strategik Agenda Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu yang menjadi indikator kepada penjawat awam merancang dan melaksanakan usaha ke arah memajukan negeri dilancarkan Dato’ Seri Ahmad Said.

25 Mei - TDM Berhad mengumumkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 67 peratus kepada RM129.2 juta untuk tahun 2010 berbanding RM77.5 juta tahun sebelumnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari.

9 Jun - Yayasan Islam Terengganu (YIT) melancarkan terjemahan kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

11 Jun - Terengganu menamatkan kemarau 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

12 Jun - Terengganu mencipta rekod muncul juara kali ketiga berturut-turut Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-13 di Melaka dengan meraih 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

18 Jun - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai Kejohanan Malaysia –Thailand Open Endurance Challenge Trophy 11 yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu.

24 Jun – Dato’ Seri Ahmad Said melepaskan 200 kenderaan pacuan empat roda program kembara dan memancing “Boat On The Road” dari Sri Pentas TV3 Bandar Utama ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

7 Julai - Kira-kira 650 peserta yang terdiri daripada 14 pasukan dari seluruh negara berkampung tiga hari di Terengganu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011

9 Julai – Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tuan Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tiba di Terengganu bagi menghadiri majlis penutup Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011.

10 Julai - Kerajaan negeri menaja 12 guru besar dan pengetua dari sekolah terpilih seluruh Terengganu bagi mengikuti Kursus `Confratute’ di University of Connecticut, Amerika Syarikat.

16 Julai - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan upacara penutup Kejohanan Motosikal Lasak Asia (FIM) 2011 yang berlangsung di Trek Sukan Lasak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

20 Julai - Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Dato’ Toh Chin Yaw menerima pingat kebesaran Darjah Dato’ Paduka Terengganu (D.P.M.T) sempena Ulang Tahun Ke-49 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan mengurniakan darjah berkenaan.

30 Julai – Dato’ Seri Ahmad Said menyempurnakan majlis pecah tanah kilang besi Perwaja Holdings Berhad (Perwaja)yang melabur RM400 juta bagi membina Loji ‘Consentration’ dan ‘Pelletizing’ yang pertama di Asia Tenggara di Kemaman.

13 Ogos - Kerabat diraja Terengganu, Tengku Ismail Tengku Su yang pernah digelar ‘Putera Songket’ meninggal dunia di Hospital Royal Brompton London.

17 Ogos - Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir pada Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam yang melibatkan bantuan sebanyak RM120,000 kepada 390 penerima.

20 Ogos – Hampir 2,000 anak Terengganu yang bekerja dan belajar di sekitar Lembah Klang diraikan Dato’ Seri Ahmad Said dan pemimpin negeri dalam satu majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

22 Ogos – Sebahagian Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II mula dibuka bermula dari persimpangan Gemuruh ke Bukit Payong dan Persimpangan Ajil ke Bukit Besi.

24 Ogos – Penantian hampir 30 tahun buat 265 peneroka Felda Kertih II, Dungun untuk mendapatkan hak milik tanah berakhir apabila mereka mendapat suratan hak milik tanah yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad Said.

26 Ogos - Dato’ To’ Puan Seri Ashiahton Fadzullah Suhaimi yang juga isteri bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menerima Anugerah Tokoh Wanita Terengganu pada sambutan Hari Wanita Negeri.

26 Ogos - Adik Nurusyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12 dari Kampung Alur Keladi, Besut yang mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar menduduki tempat ketiga.

28 Ogos - Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa meraikan kemeriahan Pertandingan Pelita Raya 2011 bersama penduduk di beberapa buah kampung di DUN Tepoh.

10 September - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 meninggalkan Lloyd Lucien Reynante dari pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.

15 September - Tokoh seni bidang ukiran kayu terkenal negara Wan Su Othman, 115 tahun meninggal dunia di kediamannya di Kampung Alor Lintang, Besut.Allahyarham pernah menerima Anugerah Seni Negara pada tahun 1977.

17 September - Seramai 1,168 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima ijazah sarjana, sarjana muda dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UniSZA ke-3 yang disempurnakan Canselor UniSZA, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

17 September - Yang Di-Pertuan Agong ,Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hotel Tanjong Vista setinggi 14 tingkat bernilai RM23 juta di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

20 September - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu untuk bersama rakyat di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Pasar Baru Kedai Buloh dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu.

20 September - Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Awang Jabar, 66, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kampung Alor Tumang, Marang.

22 September - Terengganu Incorporated (TI) mempunyai bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Chendering yang dirasmikan Dato’ Seri Ahmad Said.

24 September - Kolej Universiti Tati (TATiUC) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya melahirkan 32 graduan sulung peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Pengeluaran.

30 September - Tujuh penerbangan yang membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah memulakan penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

30 September - Tuanku Nur Zahirah berkenan melancaran Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

1 Oktober - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan menyampaikan Pengurniaan Ijazah Kehormat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011 kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Majlis Konvokesyen Ke-9, di Dewan Sultan Mizan universiti itu.

2 Oktober – Masjid terapung yang bernilai RM12 juta mula dibina di Pulau Perhentian, Besut.

8 Oktober - Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES)mengetuai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 120 kilometer Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

9 Oktober - Penunggang Thailand, Wipawan Pawitayalarp muncul juara dalam Sultan Mizan Cup 2011 sekaligus membawa pulang wang tunai RM63,000 dan sebuah jam tangan AmaSwiss bernilai RM54,000.

13 Oktober - iHeal Medical Centre Sdn. Bhd. melakar sejarah dalam menawarkan perkhidmatan perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan jantung pertama yang dilakukan sendiri Pengarah hospital itu, Dr. David Khoo Sin Keat.

21 Oktober – Dato’ Seri Ahmad Said melancarkan majlis pecah tanah projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

29 Oktober – Terengganu rangkul kedudukan naib juara Piala Malaysia selepas kalah tipis 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

31 Oktober – Bekas jurulatih KL Pos, Telekom Melaka dan Kuala Lumpur yang pernah membawa Terengganu merangkul Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001, Mat Zan Mat Aris kembali semula membimbing skuad Penyu berikutan peletakan jawatan secara mengejut jurulatihnya, Irfan Bakti.

9 November -Dato' Seri Ahmad Said menerima kunjung hormat Duta Besar Singapura Ke Malaysia Mr Ong Keng Yong di pejabatnya di Wisma Darul Iman.

12 November - Terengganu merupakan negeri pertama yang mewujudkan kolaborasi rasmi dengan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi melaksanakan program khas melalui Memorandum Persefahaman antara SME Bank dan Yayasan Pembangunan Usahawan.

14 November - Dato' Seri Ahmad Said membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

17 November - Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mencatatkan 15.6 peratus mendapat keputusan semua A daripada keseluruhan 23,250 calon.

18 November - Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu di Kem Pengangkap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir.

27 November - Juragan pasukan GAC Pindar, Ia William merangkul gelaran berganda apabila muncul juara Piala Monsun 2011 yang menjadi pentas terakhir Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) di Pulau Duyong. Pelayar dari Britain itu juga dinobatkan sebagai juara WMRT 2011.

3 Disember - Cabaran sepuluh hari aksi lasak Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) mencatatkan penyertaan paling ramai lebih 500 peserta dari 30 buah negara bermula.