Halaman

22 January 2012

Sultan Mizan tamatkan perlumbaan kuda lasak

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berjaya menamatkan perlumbaan dalam kejohanan kuda lasak anjuran Kelab Ekuestrian Al-Kathiri di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, semalam (21 Januari).

Baginda yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mengambil masa 3 jam 50 minit dan satu saat bagi menamatkan perlumbaan sejauh 40 kilometer (km) itu.

Sementara, anakanda baginda Tengku Fatimatuz Zahrah juga dari RTES, yang turut menyertai acara 40 km tidak dapat menamatkan perlumbaan.

Adinda baginda, Tengku Seri Temenggong Tengku Baharuddin Shah Sultan Mahmud dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET)berjaya menamatkan perlumbaan itu dengan masa 2 jam 37 minit 50 saat.

Presiden Ground Juri Al-Kathiri Endurance, Fuad Mahmud berkata, seramai 41 daripada 51 peserta yang mengambil bahagian dalam kategori 40km, berjaya menamatkan perlumbaan itu.

"Kejohanan bagi kategori 40km itu kita tidak hanya tertumpu kepada kedudukan tempat (ranking) tetapi ia lebih kepada ujian kepada peserta untuk menamatkan perlumbaan itu," katanya.

Beliau berkata, bagi perlumbaan jarak 80km lima daripada sembilan peserta senior dapat menamatkan perlumbaan manakala dua daripada enam peserta junior berjaya menamatkan perlumbaan itu.

Katanya, kedudukan tempat pertama bagi senior dimenangi Mohd Azizie Ismail dari Tengku Mahkota Kelantan Equestrian (TMKN) dengan kepantasan 4'32:19s.

Tempat kedua pula dimenangi Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff dari STET dengan masa 4'38:56s manakala tempat ketiga Mohd Saifuddin Mohd Saari dari RTES dengan masa 4'41:8s.

Bagi kategori junior, hanya dua dari enam peserta dapat menamatkan perlumbaan iaitu Aminuddin Abdullah dari STET 4'38:55s (tempat pertama) dan Abu Ubaidah Muhamad Hamzah dari The Perdana Stables 6'43:40s.