Halaman

26 January 2012

Sultan saran guna khidmat arkitek mampu tonjol ciri binaan menarik

Oleh: Esah Abdullah

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menintahkan supaya khidmat arkitek yang mampu menonjolkan ciri-ciri binaan lebih menarik digunakan bagi merekabentuk bangunan baru di Bandar Kuala Terengganu.

Baginda bertitah, langkah itu perlu bagi memastikan bangunan yang lebih artistik dan mampu menarik minat pelancong, didirikan sekitar bandar ini, sesuai dengan jolokannya Bandaraya Warisan Pesisir Air.

“Dengan adanya bangunan yang cantik dan unik serta mengekalkan ciri-ciri tradisional, akan menambah daya tarikan pelancong di negeri ini,” titah baginda selepas taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) di pejabat Datuk Bandar MBKT di bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) hari ini.

Taklimat sempena lawatan rasmi baginda ke MBKT, disampaikan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.

Baginda Sultan Mizan turut bertitah agar pihak berkuasa mencari jalan menyelesaikan masalah kesesakan dalam bandar Kuala Terengganu bagi mengurangkan rungutan pengguna.

Baginda turut menyarakan agar pejalan kaki diadakan di kawasan strategik bagi kemudahan orang ramai dan pengindahan kawasan bandaraya.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad menjunjung kasih di atas titah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang prihatin dan mengambil berat terhadap perkembangan pembangunan pesat di negeri ini, terutama di Bandar Kuala Terengganu.

“Kerajaan negeri merafak sembah menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku Sultan mendengar taklimat dan memberi teguran serta saranan bagi tujuan penambahbaikan kemudahan dalam kawasan bandaraya,” katanya kepada pemberita sebaik taklimat selesai.

Katanya, kerajaan sentiasa mendengar dan mengambilkira suara rakyat serta memastikan semua perancangan pembangunan dilaksanakan memberi keuntungan kedua belah pihak iaitu kerajaan dan rakyat.