Halaman

22 January 2012

T-Team tumbang di tangan abang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan `adik’ dan `abang’ di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi berkesudahan dengan T-Team terpaksa berputih mata tewas buat pertama kali di tangan pasukan senior Terengganu dengan keputusan 1-2.



Kekalahan itu memaksa T-Team atau digelar Penyu Muda gagal mempertahankan kedudukan di takhta liga, sebaliknya dirampas oleh Kelantan yang berjaya menjinakkan Kedah 3-0, di Alor Setar, semalam.

Sementara kemenangan Terengganu yang terhasil menerusi jaringan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit 20 dan ke-59 berjaya membaiki kedudukan dan merapati Kelantan di tangga kedua dengan jumlah sembilan mata keseluruhan.

Dalam keghairan kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan sebaik wisel dibunyikan, T-Team terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang dijaringkan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-12.



Bagaimanapun, Terengganu berjaya menunjukkan kebangkitan selepas T-Team kekurangan seorang pemain yang menerima kad merah sekaligus membataskan skuad kendalian Yunus Aliff itu untuk menambah jaringan gol.