Halaman

30 January 2012

TATIUC anjur program kebajikan


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Kolej Universiti TATI (TATIUC) telah menganjurkan satu program bersama dengan membaiki serta membersihkan kawasan rumah sebuah keluarga ibu tunggal enam anak di Kampung Tanah Lot Baru Titian Berayun, Kijal.

Peruntukan sebanyak RM5,000 dibelanjakan untuk membaiki rumah termasuk, kos pembelian perkakasan rumah dan barangan dapur. Program itu membabitkan penyertaan seramai 80 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan penuntut TATIUC, wakil anak syarikat TATIUC serta warga kerja Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Kijal.

Program yang mendapat sumbangan anak syarikat TATIUC iaitu Ruane TATI dan TATIUC Production itu merupakan program kali ketiga untuk sesi 2011/2012.

Rektor TATIUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, hasil dana yang diterima diagihkan mengikut keperluan sepertimana telah digunakan dalam program pada hari itu.

“Biasanya untuk setiap sesi kita adakan antara satu hingga empat program, ianya bertujuan untuk mendekatkan dan menjalinkan hubungan penuntut TATIUC dengan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Tambahnya lagi, program tersebut mendapat restu serta cadangan daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC.

Sementara itu, Napisah Taib 48, empunya rumah yang bekerja di sebuah kedai membekalkan santan meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan kerana keadaan rumahnya menjadi lebih selesa dan bersih.