Halaman

10 February 2012

Belia terima Dana Remaja awal Mac ini.

Oleh: Suriati Ali

Anak jati Terengganu terutama golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada kerajaan negeri yang sememangnya prihatin mengenai pelbagai aspek terutama berkaitan kebajikan, kemudahan dan pendidikan.

Terbaru, kira-kira 85,000 belia di seluruh Terengganu dijangka menerima Dana Remaja pada awal Mac ini. Borang berkaitan itu mula diisi belia yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Daripada kira-kira RM17 juta yang peruntukan, setiap belia berusia antara 18 hingga 40 tahun dan belum berkahwin layak menerima RM200.

Tahun lalu, seramai 83,197 belia yang membabitkan peruntukan RM16.6 juta menerima dana itu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, dia terharu kerana golongan belia di negeri ini terus mendapat perhatian dengan memberi Dana Remaja.

Katanya, perlaksanaan itu mampu membentuk generasi muda untuk mendaftar sebagai pemilih di mana sebelum ini kurang berminat untuk berbuat demikian.

“Kita harap remaja-remaja yang menerima dana ini supaya tidak menggunakan wang tersebut kepada benda-benda yang tidak mendatangkan manfaat,” katanya.