Halaman

27 February 2012

Harga ditawarkan T'Cafe terkawal : CEO YPU

Haji Azmi Razik, di Majlis Mesra Media Bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Fauzi Mohd

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan memastikan lapan rangkaian jenama T’Cafe menawarkan kadar harga terkawal dan berpatutan kepada pengguna, sekaligus mengelak tanggapan negatif orang ramai mengenai semua restoran di Terengganu mengenakan kadar harga makanan yang mahal.

“Saya akan pastikan harga di setiap T'Cafe terkawal. Setakat ini tiada rungutan mengenai harga mahal di kedai makanan kita itu.

“Pada masa yang sama, bagi memastikan perkara itu dapat dikekalkan, kita akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan dari masa ke semasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Azmi Razik, di Majlis Mesra Media Bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah SKM Terengganu, Encik Osman Ismail dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

“Bagi mengekang masalah ini, kesedaran ramai amat penting. Jika kedai makan, restoran itu mahal (harga yang ditawarkan) pengguna perlu memberi kesedaran kepada pengusaha kedai berkenaan dengan menggunakan pelbagai pendekatan sama ada memboikot ataupun memulau kedai mereka.

“Pada masa yang sama, media juga memainkan peranan. Sebagai contoh pelancong memberi komen mengenai harga yang mahal menerusi televisyen dan radio supaya dapat menimbulkan reaksi di kalangan pengusaha agar mereka menyelaras dan menurunkan kadar harga makanan yang ditawarkan itu,” katanya.

Katanya, pengusaha kedai makanan lazimnya meraih keuntungan berlipat ganda dan boleh mencecah sehingga 300 hingga 400 peratus berbanding kedai runcit serta T-Shoope yang hanya mampu mencapai keuntungan lima hingga 10 peratus bagi setiap produk.