Halaman

12 February 2012

Kerajaan tawar RM15,000 pencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menawarkan hadiah utama berjumlah RM15,000 kepada mereka yang berjaya mencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Antara syarat penyertaan, lagu ciptaan asal dan tidak melebihi jangka masa empat minit serta boleh menggunakan khidmat penulis lirik tetapi hanya pecipta lagu diterima sebagai peserta.

Ciptaan lagu juga bebas dan tidak terhad manakala penilaian diberikan kepada aspek kreativiti melodi yang bermutu, bernilai komersial dan menepati kriteria penciptaan yang professional serta mempunyai elemen kebudayaan dan kesenian warisan negeri.

Penyertaan juga hendaklah disertakan dalam bentuk CD dengan rakaman suara menggunakan sekurang-kurangnya satu alat muzik iringan dan menyertakan skor/notasi dengan lirik di bawah melodi.

Lagu-lagu yang telah dihantar dan dipilih ke peringkat akhir sahaja akan menjadi hak milik Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Penyertaan terbuka kepada semua rakyat di negeri ini berusia 18 tahun keatas yang menetap di dalam atau luar Terengganu.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat SUKTRA, Bangunan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak atau muat turun melalui laman web www.terengganu.gov.my.

Borang penyertaan hendaklah dihantar kepada Pertandingan Mencipta Lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , SUKTRA Terengganu, Tingkat Bawah (Pintu Utara) Bangunan Stadium Tertutup, Kompeks Sukan Negeri Terengganu, 21300 Gong Badak, Kuala Terengganu.

Penyertaan pertandingan adalah percuma dan tarikh tutup pertandingan pada 29 Februari 2012. Sebarang pertanyaan boleh hubungi melalui talian 09-6670221.