Halaman

26 February 2012

Kontinjen SUK Terengganu galas cabaran di Sarawak

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu disaran menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, kerjasama berpasukan serta memupuk ukhwah antara pegawai dan atlit sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SUK di Kuching, Sarawak pada 28 Februari hingga 4 Mac ini.

“Saya berharap semua atlit dan pegawai sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi berdepan kejohanan dan mampu menggalas cabaran untuk menyaingi pihak lawan dengan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Memandangkan persiapan rapi yang sudah dilakukan menjelangnya kejohanan pada kali ini berbanding temasya dua tahun lalu di Kuantan Pahang, saya berharap kontinjen Terengganu mampu membawa pulang dua piala pusingan nanti,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Terengganu sempena Sukan SUK Se-Malaysia Ke-4, 2012 Sarawak, di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Hadir sama, Ketua Kontijen, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan Urusetia Kontinjen Terengganu (Penolong Setiausaha Kerajaan, Belia dan Sukan), Encik Ahmad Shahrizal Yahaya.



Dato’ Mazlan turut yakin dengan kemampuan dan kebolehan semua atlit dan pegawai yang bakal menyahut cabaran di temasya itu nanti serta berharap mereka mampu meningkatkan prestasi dan membawa pulang kejayaan.


Beliau kemudiannya menyerahkan bendera Terengganu kepada ketua kontinjen dan menyarungkan jersi sukan kepada setiap ketua pasukan yang bakal bertanding sebagai simbolik majlis berkenaan.

Kontinjen Terengganu menghantar 97 atlit dan pegawai bagi menyertai lima acara iaitu bola sepak, bola jaring, ping pong, badminton dan boling pada edisi kali ini.