Halaman

12 February 2012

Masalah lampu – Waktu perlawanan Terengganu, T-Team mungkin diubah

Oleh FAUZI MOHD

Kegagalan mengatasi masalah lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) mungkin akan menyebabkan perlawanan antara pasukan Terengganu dan T-Team diadakan pada waktu petang.

Koordinator perlawanan FAM pada perlawanan T-Team menentang Perak malam tadi, Abd. Ghani Ishak berkata, jika masalah itu berterusan, berkemungkinan perlawanan membabitkan pasukan Terengganu Selasa ini diadakan pada sebelah petang.

"Hasil pemeriksaan di SSINS malam tadi mendapati cahaya lampu limpah di stadium itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FAM iaitu 800 lux untuk perlawanan Liga Malaysia diadakan pada sebelah malam.

"Bacaannya hanya mencapai 500 lux dan ia tidak melepasi piawaian. Saya akan menghantar laporan serta-merta kepada FAM dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan di seluruh stadium itu dan mendapati setiap sudut di SSINS tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.

Stadium perlu mempunyai tahap cahaya lampu limpah minimum 800 lux untuk perlawanan Liga M dan manakala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan 1,200 lux sebagai syarat minimum untuk perlawanan Piala AFC.

Kegagalan memenuhi kriteria itu memerlukan perlawanan diadakan pada waktu petang.