Halaman

14 February 2012

Memperkasakan tulisan jawi

Oleh; Esah Abdullah

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Terengganu akan menganjurkan pertandingan kepantasan, kecekapan, membaca dan menulis dalam tulisan jawi untuk pelajar sekolah rendah bagi menggalak dan meningkatkan penguasaannya di kalangan pelajar.

Setiausahanya, Syed Anuar Syed Muhamad berkata, program berlangsung selama 15 minggu bermula semalam membabitkan 350 pelajar dari lapan buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, mulai tarikh berkenaan, pihaknya akan mengedar 4,000 naskah sisipan tulisan jawi yang terdapat di Utusan Malaysia setiap Isnin dengan bimbingan guru kelas.

“Inilah sebahagian usaha kecil Gagasan untuk membantu meningkatkan kecintaan, penguasaan dan penggunaan tulisan jawi dengan lebih meluas,” katanya.

Tambahnya, menjadi tanggung jawab bersama semua pihak untuk memperkasa kembali penggunaan dan penguasaan tulisan jawi di kalangan generasi muda agar tidak terus terpinggir dalam arus kemodenan hari ini.

Sehubungan itu majlis perasmian program akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad pada 18 Februari ini yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.