Halaman

14 February 2012

Pas ketandusan modal, main isu pemilikan tanah SRIDB: Adun Paka

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin dan penyokong Pas bertindak memutar belitkan fakta sebenar berhubung isu pemilikan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) Paka demi meraih simpati dan `modal’ untuk kempen pilihan raya akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Zakaria @ Ariffin Abdullah, berkata tanah berkenaan bukan hak milik pembangkang berikutan tanah yang menempatkan sekolah itu tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Dungun.

“Saya nasihatkan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke SRIDB ini memikirkan semula mengenai keselamatan anak mereka yang bersekolah di situ, di mana semua bangunan yang dibangunkan ini tiada kelulusan di peringkat MPD.

“Saya minta masyarakat tidak terkeliru dengan isu ini kerana mereka tiada isu untuk hadapi pilihan raya ke-13,” katanya katanya ketika sidang media di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, tindakan pembangkang bertujuan menimbulkan kemarahan dan kebencian penduduk terhadap kerajaan Barisan Nasional dan Umno semata-mata.

Katanya, penduduk yang tidak memahami dan mengetahui kedudukan sebenar berhubung isu itu akan terpengaruh apatah lagi Pas cuba menarik perhatian dengan mengaitkan penentangan itu dibuat demi `membangunkan’ sekolah Islam serta asrama anak yatim.

Selain itu, YB Zakaria berkata, mereka yang terlibat dengan demonstrasi berkenaan merupakan aktivis Pas termasuk bekas wakil rakyat parti itu sendiri.

“Kalau dilihat sijil pendaftaran, kaedah pendaftaran dan pengawalan sekolah-sekolah agama Islam, SRIDB juga berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu dan mempunyai syarat pertama, tidak menyeleweng dengan agama Islam,kedua, tidak boleh menerima murid yang bukan beragama Islam.

“Ketiga, tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Oleh itu, jelas kepada kita bahawa SRIDB ini telah dipengaruhi parti politik dan melanggar syarat yang dikeluarkan Pesuruhjaya JHEAT,” katanya.

Kelmarin, sekumpulan pemimpin dan penyokong Pas termasuk murid, guru, ibu bapa dan Jawatan Pengurusan SRIDB melakukan demonstrasi dengan menamakannya ‘Demonstrasi Membantah Kezaliman 5 JKKK Rampas Tanah’.

Mereka mendesak agar tanah lima lot yang sudah menjadi hak milik penduduk diserahkan kepada pihak sekolah yang didirikan di atas tanah kerajaan.

Bagaimanapun, perhimpunan berkenaan berjalan dalam aman kerana pihak yang dibantah, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Zakaria @ Ariffin Abdullah dan lima pemilik tanah terbabit tidak mengambil sebarang tindakan balas atau mengganggu perhimpunan berkenaan.

Untuk rekod, SRIDB yang ditubuhkan pada 2001 atas tanah kerajaan dan berstatus haram. Tanah bangunan sekolah ini pernah diluluskan oleh Kerajaan Pas pada 2003 dalam bentuk permohonan pendudukan sementara (Tol) dan mereka hanya pernah membayar Tol sekali sahaja sahaja kepada kerajaan negeri pada ketika itu.

Kerajaan negeri yang mengambil alih pentadbiran pada 2004 dan membahagikan tanah yang tidak melibatkan langsung kawasan SRIDB itu kepada lima penduduk termasuk JKKK yang didakwa oleh pembangkang sebagai merampas tanah SRIDB.

Tanah yang dibahagikan itu berada di luar daripada kawasan SRIDB dan merupakan tanah hak milik peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kolam Permai yang diluluskan sejak 1997.

Seterusnya pada 2001 Kerajaan Pas mengeluarkan 34 lot Tol kepada peserta RTB Kolam Permai dan hanya tujuh lot yang dikosongkan (lot yang didakwa pembangkang dirampas JKKK), disebabkan di atas lot ini terdapat pembinaan secara haram termasuk rumah yang dibangunkan penduduk Paka.

Penduduk yang tinggal secara haram itu dipindahkan ke penempatan di Kampung Telaga Mas, Paka.

Malah, pada 2011, Adun Paka memohon pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan berhubung perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tanah kepada peserta yang layak di RTB Kolam Permai itu.