Halaman

02 February 2012

Pengguna samseng bukan halangan teruskan kempen keselamatan : Dato' Alex

Oleh: Aida Abd Rahman



Segelintir pengguna jalan raya dikatakan bersikap samseng apabila mencemuh tindakan pihak penganjur yang menjalankan kempen keselamatan jalan raya kerana menjadi punca pergerakan kenderaan perlahan dan jalan raya sesak.

Bagaimanapun, senario itu tidak mematahkan usaha pihak penganjur termasuk Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun) yang dipengerusikan Dato’ Alex Ong bagi meneruskan kempen berkenaan setiap tahun di seluruh Terengganu terutama pada musim perayaan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh.

“Sesetengah pengguna samseng mereka marahkan kita menjadi penyebab jalan raya sesak teruk. Sedangkan apa yang kita lakukan adalah untuk mengedarkan risalah penting bagi tujuan menyedarkan semua pihak mengenai keselamatan di jalan raya.

“Mereka sepatutnya faham mengenai aktiviti positif kita bagi membantu pihak berkuasa dan agensi kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya dan tidak sepatutnya komen sedemikian,” katanya ketika sidang media sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Chap Goh Meh 2012, di depan Medan Selera Padang Negara, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut bekerjasama dalam program terakhir sempena kempen itu adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Penaja utama program Mydin Mall selain dibantu Syarikat Nestle dan akhbar Sinar Harian.

Katanya, program itu menjadi aktiviti tahunan Kesun bagi menyedarkan orang ramai mengenai keselamatan nyawa ketika pemanduan sekaligus mengedar risalah yang dikeluarkan pihak terbabit mengenai keselamatan nyawa dan keluarga ketika di jalan raya.

Beliau berkata, usaha positif dan sihat itu juga mampu membantu pihak berkuasa termasuk polis dan JPJ dalam menjayakan matlamat bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya khususnya pada musim perayaan.

Sebanyak 50,000 risalah mengenai kempen berkenaan berjaya diedarkan kepada 50,000 kenderaan termasuk kereta dan motosikal sepanjang program yang menjelajah ke setiap daerah itu berlangsung sejak bulan lalu.